PKR Lancar Kempen Penerangan Krisis Perak


(TV Antara) – Parti Keadilan Rakyat akan melancarkan kempen penerangan "Krisis Perak: Kembali Pada Rakyat" pada jam 9 malam ini di Taman Medan, Petaling Jaya Selatan (Dataran Pasar Malam), PJS 2D/7 (Markas PAS PJS), Selangor.

Pelancaran itu akan disusuli dengan ceramah perdana oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim, ADUN Perak, Chang Lih Kang (Teja) dan S. Kesavan (Hutan Melintang), serta ahli jawatankuasa PAS Pusat, Idris Ahmad.

Menurut kenyataan biro penerangan PKR, kempen berkenaan akan diperluaskan ke seluruh negara  dalam masa terdekat ini.

Ia bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap krisis politik di Perak dan isu-isu yang membabitkan perlembagaan negeri dan negara serta hak rakyat sebagai pengundi.

Perak dilanda kemelut politik apabila BN melancarkan rampasan kuasa dengan membeli tiga ADUN Pakatan Rakyat dalam cubaan untuk menguasai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri Perak.

Minggu lalu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pakatan masih Menteri Besar Perak yang sah.

Berikutan itu, Menteri Besar lantikan UMNO, Datuk Dr Zambry Abd Kadir memperolehi perintah  Mahkamah Rayuan untuk menangguhkan perlaksanaan keputusan itu.

Pelbagai pihak, termasuk orang ramai dan kalangan pemimpin BN sendiri, mendesak Perdana Menteri Najib Razak untuk menyokong pembubaran DUN Perak bagi membolehkan rakyat negeri itu memilih kerajaan negeri  baru.



Comments
Loading...