Kerajaan terus dasar terbuka


Oleh Ziauddin Sharuddin, Berita Harian

Elak beri kritikan membuta tuli: Rais

KUALA KLAWANG: Dasar keterbukaan membenarkan kritikan terhadap kerajaan akan diteruskan, tetapi semua pihak diingatkan supaya meletakkan kepentingan negara sebagai keutamaan.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata kerajaan menerima hakikat pelbagai pihak kini suka mengkritik berikutan dasar bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang memberi kebebasan berbuat demikian.

Katanya, dasar pentadbiran lalu sukar untuk dihentikan dan kerajaan sekarang menerimanya sebagai cabaran yang perlu dihadapi dengan melaksanakan pendekatan proaktif.

"Kerajaan tidak ingin mewujudkan suasana membenci dan sebaliknya menegakkan kebenaran dengan menjaga keutuhan berita yang dikeluarkan.

"Berita yang dikeluarkan mesti berasaskan kebenaran dan untuk kepentingan masyarakat," katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan program Rakan Muda Sekolah peringkat negeri di stadium mini di sini, semalam.

Rais berkata, dasar ini tidak terhad kepada organisasi media milik kerajaan seperti Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), tetapi meliputi stesen televisyen dan radio swasta serta media cetak yang boleh memainkan peranan untuk menyampaikan kebenaran melalui berita yang disampaikan.

Katanya, peranan organisasi media massa swasta juga amat penting untuk menjayakan dasar 1Malaysia yang bermatlamat menyatukan rakyat negara ini.

Sementara itu, katanya Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan akan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan mengadakan pelbagai program 1Malaysia di seluruh negara mulai Jun ini hingga Ogos depan, iaitu Bulan Kemerdekaan Negara.

Katanya, sasaran utama adalah golongan muda iaitu menanam semangat mencintai tanah air menerusi program perpaduan dan asuhan murni.

"Ini membabitkan program pelbagai kaum dengan mencungkil bakat kepemimpinan di kalangan golongan muda seperti mencari pemidato muda berbakat.

"Kita juga akan meneruskan projek muzik dan kebudayaan dengan menggalakkan anak muda semua kaum menyanyi lagu P Ramlee, manakala anak Melayu digalakkan memainkan alat muzik kaum lain seperti sitar dan orang Cina pula boleh menyanyi lagu Melayu asli," katanya.

 



Comments
Loading...