Pilihanraya (Kecil atau Umum) Bukan Satu Pembaziran
Zaid Ibrahim
Selepas majlis penamaan calon pilihanraya kecil Penanti selesai, saya terus ke sebuah kedai nasi kandar yang terletak di Seberang Prai. Di sana, saya sempat berbual dengan beberapa orang aktivis Pas dari Kelantan dan Selangor.
Tanpa diduga, salah seorang daripada mereka mengistiharkan saya sebagai Melayu Terbilang. Saya fikir ada besar kemungkinan dia hanya bergurau. Barangkali itu cara dia memberi penghormatan atau pujian. Cara dia berucap itu menampakkan keikhlasan namun gelaran itu membuat saya tidak senang duduk dan rasa serba salah. Tiada ada apa yang gemilang lagi terbilang tentang diri saya ini.
Menurut UMNO, gelaran itu telahpun diberikan kepada Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary pada bulan lepas. Sebelum Tan Sri Syed Mokhtar, kita rasa kagum dengan para Melayu lain yang juga terbilang seperti Tun Daim zainuddin, Tan Sri Tajuddin Ramli, Tan Sri Halim saad, Allahyarham Tan Sri SM Nasimuddin, Tan Sri Abu Sahid (tuan punya Maju Holdings) dan termasuk beberapa orang lain yang dikenali sebagai Raja-Raja AP. Apa yang menyerlah tentang personaliti dan watak mereka yang terbilang ini ialah sifat mereka yang terlalu ‘low key’. Tidak banyak yang diketahui tentang sejarah hidup mereka. Malahan, berita mengenati bisnes mereka juga tidak banyak mendapat liputan kecuali apabila keadaan memaksa. Mereka ini seolah-olah malu untuk diketahui umum.
Memang benar, terdapat juga jutawan dari negara-negara barat yang bersifat ‘recluse’ kerana tidak mahu kehidupan serta cerita kejayaan mereka diketahui umum, namun golongan ini tidaklah ramai. Di sana mereka lebih suka bercerita tentang kejayaan rakyat agar dapat dicontohi semua. Bill Gates, Richard Branson atau Warren Buffet adalah ikon mereka. Malah, saya begitu gemar membaca buku-buku yang ditulis oleh Richard Branson, yang menceritakan kejayaan beliau menjadi jutawaan terkemuka walaupun datang daripada sebuah keluarga miskin serta tidak mempunyai ijazah universiti. Alangkah baiknya jika terdapat buku-buku yang ditulis mengenai cerita kejayaan orang-orang Melayu terbilang? Analisis dibuat tentang bagaimana mereka berjaya dalam bisnes agar anak-anak Melayu dapat mempelajari teknik-teknik mencapai sukses dalam hidup.