Layakkah Ibrahim Ali label Pakatan hipokrit?
Mat Zain Mat Isa, Harakah
Tiba-tiba saja bersipongang di serata negara seruan agar semua pihak akur dan menghormati keputusan mahkamah. Semua pihak diharapkan dapat menerima hakikat yang diputuskan institusi kehakiman itu, sama ada memihak kepada mereka atau sebaliknya.
Serentak itu juga pihak yang tidak menang diingatkan agar jangan terus berusaha memanjangkan isu yang mereka anggap telah selesai. Kata mereka, rakyat sudah bosan melihat pertikaian ini. Kini, akhirnya telah terbukti dan telah sah siapa betul dan siapa salah.
Itulah gambaran betapa hipokritnya mereka ini, bukan? Isu dimaksudkan ialah pertikaian mengenai siapa Menteri Besar Perak yang sah. Mereka itu pula ialah para pemimpin dan pendokong Barisan Nasional (BN).
Kenyataan mereka dalam nada itu hanya tingkah-meningkah setelah keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Jumaat (22 Mei) memihak kepada BN.
Sedangkan seruan dan sikap serupa tidak mereka pamerkan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Dato' Seri Mohamad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah, 11 Mei lalu. Mengapa ketika itu tidak dikatakan kebenaran telah terbukti dan semua pihak jangan lagi memanjangkan itu tersebut?
Sebaliknya, BN selaku pihak yang kalah tidak bertangguh untuk membantah keputusan tersebut. Mereka tidak mengambil masa walau 24 jam untuk mendapatkan perintah mahkamah menghalang pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi itu. Hanya sempat beberapa jam menyambung tugas rasminya sebagai Menteri Besar, Nizar terus diperintahkan meninggalkan pejabatnya.
Dalam kenyataannya menyambut keputusan Mahkamah Tinggi, Nizar bertekad menghadap Sultan Perak bagi mempersembahkan permohonan perkenan Baginda agar Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak dibubarkan. Perjuangan Pakatan Rakyat, jelasnya, tidak akan selesai hanya setakat keputusan mahkamah. Kemelut politik Perak hanya dapat diakhiri dengan memulangkan kembali hak memilih kerajaan kepada rakyatnya.
Malangnya, hasrat yang disuara dan didambakan pelbagai pihak itu gagal dihayati BN. Mereka tidak bersdia menerima penyelesaian itu. Sebaliknya terbukti mereka lah yang memanjangkan pertikaian tersebut ke Mahkamah Rayuan.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya, Jumaat lalu memutuskan menolak keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang sebelum ini memutuskan bahawa Nizar adalah Menteri Besar Perak yang sah. Ia sekali gus menidakkan segala hujah dan pandangan Hakim Dato' Abdul Aziz Abdul Rahim yang memihak Nizar.
Kini, apabila Nizar dan pasukan peguamnya berura-ura memfailkan rayuan atas keputusan itu ke Mahkamah Persekutuan, ada pula pihak yang menuduh mereka sengaja memanjangkan isu tersebut. Mereka mendakwa isu telah selesai dengan keputusan Mahkamah Rayuan. Kata mereka, Nizar dan Pakatan Rakyat perlu akur bahawa BN memang berhak ke atas kerajaan Perak.
Di masa sama ada pula pihak yang melabelkan Nizar dan pemimpin Pakatan Rakyat sebagai hipokrit. Orang itu tidak lain daripada Dato' Ibrahim Ali, Ahli Parlimen Pasir Mas yang menang atas tiket PAS, tetapi kini secara terbuka 'melompat' ke pangkuan BN.
"Apa lagi yang nak bising-bising apabila mahkamah telah membuat keputusan dan kalau mereka yakin sangat rakyat Perak mengundi mereka, tunggu sahaja pilihan raya umum akan datang," katanya, sepertimana dipetik akhbar mingguan, Ahad (24 Mei).
Tadi sudah dijelaskan bahawa sikap dan pendirian Pakatan Rakyat dalam mendesak Dun Perak dibubarkan bukan satu hipokrasi. Ia telah disuarakan sedari awal krisis politik negeri itu dicetuskan BN, awal Februari lalu. Sikap dan pendirian itu juga kekal dipegang Pakatan Rakyat hingga ke saat ini. Justeru, apa yang hipokritnya pada desakan itu?
Sedangkan yang lebih layak disifatkan hipokrit ialah BN dan Ibrahim sendiri. Selain sikap yang ketara berbeza dalam menerima keputusan dua mahkamah, mereka juga tidak konsisten dengan keyakinan terhadap sokongan rakyat.
Mereka mendakwa kononnya rakyat sudah bosan dengan karenah dan sikap gila kuasa Pakatan Rakyat, bagi menggambarkan kononnya rakyat sudah bulat dan sepakat di belakang BN. Malangnya, apabila didesak memberi peluang kepada rakyat menentukan hakikat itu, mereka bermati-matian pula mengelaknya. Bukankah itu juga hipokrit?
Ibrahim Ali sendiri memang diketahui sangat takut untuk berhadapan dengan perhitungan rakyat Pasir Mas. Beliau telah dicabar mengenai perkara itu dan telah menzahirkan sifat hipokritnya. Apakah layak orang seumpama itu melabelkan orang lain sebagai hipokrit?