Warna-warna Malaysia: Rakyat hilang hak berpakaian?
Centre for Policy Initiatives
Sejak beberapa musim ini, rakyat sudah mula terkeliru dan rungsing mengenai pakaian yang mereka kenakan setiap hari.
Mutakhir ini, warna pakaian yang dipakai pada satu-satu keadaan akan membawa kemudaratan sehingga boleh dibawa ke mahkamah dan bermalam di dalam lokap.
Pakaian Hitam
Pada Mei 5 lalu, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) melancarkan 1MalaysiaGelita [dalam Bahasa Inggeris, 1BlackMalaysia] yang menuntut agar Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan dan diadakan pilihan raya kecil. Justeru, seiring dengan kempen tersebut, Bersih menyeru seluruh rakyat berpakaian hitam pada Mei 7 semasa DUN Perak diadakan.
Pada hari tersebut, seramai 126 orang termasuk wakil-wakil rakyat ditangkap di Ipoh. Kebanyakan mereka berpakaian hitam. Menurut beberapa video klip yang diambil, ada seorang warga Ipoh yang beriadah setiap pagi juga ditahan bersama yang lainnya, hanya kerana dia berpakaian hitam. Orang tersebut kelihatan terpinga-pinga apabila ditangkap anggota polis yang berpakaian preman.
Pada Mei 7 juga, sekotak baju hitam peniaga yang berniaga di luar masjid di Ipoh dirampas dan penjualnya ditangkap. Sebanyak lebih kurang 170 helai pakaian 'ditahan' sebagai bahan bukti.
Keadaan lebih runcing apabila belasan orang ditahan polis baru-baru ini kerana mengadakan acara menyala lilin dan berpakaian hitam di Brickfields, Kuala Lumpur dan di tempat-tempat lain. Pihak polis telah mereman selama tiga hari 16 orang yang ditangkap pada malam Khamis di Teratai, Selangor manakala Adun Teratai, seorang wanita, diminta menanggalkan pakaian hitamnya lalu memakai pakaian seragam lokap.