DUN Manek Urai: Pilihan raya kecil 14 Julai


(mStar Online) – SPR menetapkan 6 Julai ini sebagai hari penamaan calon pilihan raya kecil kerusi DUN Manek Urai, Kelantan.

Jika ada pertandingan, pengundian akan berlangsung 14 Julai.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof di sini hari ini.

Menurut beliau, penetapan tarikh itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk keupayaan pegawai-pegawai SPR untuk menyediakan daftar pemilih yang lengkap, aspek logistik, masa yang mencukupi untuk petugas-petugas, aspek keselamatan dan mengambil kira peristiwa-peristiwa lain khasnya di Kelantan.

Abdul Aziz berkata, walaupun hari penamaan calon dan pengundian ditetapkan pada hari bekerja namun ia tidak menimbulkan sebarang masalah kerana 90 peratus pengundi adalah penduduk tempatan yg tinggal di kawasan tersebut dan bekerja sendiri.

“Mereka (pengundi) di Manek Urai bekerja sebagai petani,nelayan penoreh getah dan hanya 10 peratus bekrja di luar Kelantan. Ia (tarikh pegundian dan penamaan calon) tidak akan memberi kesan kepada peratus keluar mengundi," katanya.

Jelas beliau, bagi mereka yang duduk di luar Kelantan, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan akan menulis surat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan dan Setiuasaha Kementerian Sumber Manusia untuk member pelepasan bagi kakitangan awam dan pekerja sektor swasta.

“Di bawah undang-undang, majikan perlu beri pelepasan kepada pekerja untuk keluar mengundi. Saya tak Nampak masalah pilihan raya ini diadakan pada hari cuti atau hari kerja,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Aziz berkata sebelum ini terdapat beberapa pilihan raya kecil diadakan pada hari bekerja seperti di Parlimen Gua Musang, DUN Pulai Condong dan Pengkalan Pasir.

SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi pilihan raya kecil kali ini akan meningkat daripada 84 peratus kepada 85 peratus.

Dalam pada itu, Aziz berkata SPR akan menyediakan sekurang-kurangnya 5 kaunter untuk pengundi menyemak maklumat mengenai saluran pengundian mereka.

“SPR juga bersetuju untuk menubuhkan 2 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-PKR) yang akan bertanggungjawab memantau pemasangan bahan kempen dari 6 Julai sehingga pengisytiharan keputusan pilihan raya dibuat oleh Pegawai Pengurus pada 14 Julai.

“PP-PKR akan diketuai oleh seorang pegawai penguatkkuasa serta dianggotai oleh seorang pegawai polis, seorang wakil Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding,” katanya.

Tegasnya, SPR turut memberi amaran kepada semua parti politik dan penyokong-penyokong parti supaya mematuhi undang-undang di bawah subseksyen 26 (1), Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkaitan dengan larangan berkempen pada hari pengundian.

“Bagi pilihan raya kecil DUN Manek Urai N.41 , SPR telah bersetuju membenarkan Malaysia For Free and Fair Election (MAFREL) menjadi pemerhati perjalanan pilihan raya kecil itu.

“Jika ada apa-apa saya harap mereka (MAFREL) akan berjumpa dan maklumkan kepada kita terus bukan kepada media, seperti mana yang mereka lakukan pada pilihan raya kecil di DUN Batang Ai. Kita nakkan laporan dan sehingga ini kita belum menerima apa-apa laporan rasmi daripada mereka,” katanya. Dalam perkembangan berkaitan mengenai pilihan raya kecil DUN Penanti yang akan berlangsung Ahad ini, Aziz berkata suasana sepanjang tempoh berkempen adalah aman setakat ini.

“Apabila ada ceramah yang datang cuma 20-30 orang, tak ramai melainkan bila ada pemimpin parti politik datang. Adalah seribu orang datang,” katanya.

Namun beliau menegaskan bahawa adalah tidak adil untuk mentafsirkan pilihan raya kecil DUN Penanti sebagai pilihan raya yang paling aman kerana parti utama, Barisan Nasional tidak bertanding di kawasan tersebut.

Pilihan raya kecil DUN Manek Urai akan diadakan berikutan kematian ADUN kawasan itu, Ismail Yaacob, 60, daripada PAS, Jumaat lalu.



Comments
Loading...