PDRM Sudah Jadi “Polis Raja Di Malaysia”


(TV Antara) – Penangkapan hampir 160 pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat sejak Najib Razak menjadi Perdana Menteri mencerminkan kepada dunia bahawa Malaysia telah menjadi sebuah negara polis.

Menurut Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham polis menyalahguna kuasa dengan bertindak menahan orang awam sesuka hati mereka tanpa menghiraukan hak asasi manusia.

Ngeh yang juga Ahli Parlimen Beruas mendakwa penahanan hampir 160 dalam jangka masa dua bulan adalah lebih buruk daripada Operasi Lalang pada 1987 semasa pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad di mana 106 ditahan di seluruh negara.

"Sekarang jumlah mereka yang ditahan kali ini mencecah 157 orang di mana 80 daripadanya adalah di Perak," katanya.

Melihat kepada zalim dan melampau batas undang-undang mereka Ngeh berkata, "Polis DiRaja Malaysia" kini lebih dikenali oleh rakyat Perak dan rakyat Malaysia sebagai "Polis Raja Di-Malaysia".

Ini kerana dilihat sebagai polis bersekongkol dengan Umno dan Barisan Nasional untuk menyekat sepenuhnya kebebasan bersuara dan bergerak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Malam Selasa lalu, G Haridas, 34 – pemandu setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming – dan ahli Majlis Perbandaran dari DAP, Simon Uthaya Kumar, 51, ditahan diluar pintu masuk bangunan ibupejabat DAP di Ipoh.

Ngeh dan Nga bertikam mulut dengan timbalan ketua polis Ipoh, Ibrahim Abu Bakar berhubung tangkapan tersebut.Ibrahim dikatakan memberitahu bahawa polis boleh menangkap orang ramai yang berkumpul dalam kumpulan lima orang atau lebih.

Bagaimanapun, Ngeh pula menegaskan bahawa alasan tersebut tidak boleh diterima kerana dua orang sahaja yang ada ketika (Haridas dan Simon) dan mendakwa ia merupakan penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis.



Comments
Loading...