Kursus BTN Perbodohkan Kakitangan Awam
(TV Antara) – Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Negeri Perak atau JAMAIY Perak mengutuk, agensi propaganda kerajaan, Biro Tata Negara kerana cuba memberi gambaran negatif terhadap bekas pemimpin negara dan memutar belitkan fakta berhubung pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
Menurut pengerusi JAMAIY Perak, Dr Khairuddin Abd Malik badan tersebut menerima aduan daripada kakitangan kerajaan yang baru selesai menghadiri kursus BTN hujung minggu lepas.
Kakitangan kerajaan tersebut mendakwa moderator kursus BTN itu telah memburuk-buruk mantan Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi dengan mengatakan beliau seorang pemimpin yang lemah berbanding Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri baru Najib Razak akan mengembalikan era kegemilangan semasa pentadbiran Dr Mahathir.
Mengenai isu pembunuhan Altantuya pula ceramah kursus BTN itu menafikan keberkaitan penggunaan C4 dari simpanan kerajaan.
Peserta kursus cuba dikelirukan dengan disogok dengan propaganda kononnya C4 boleh dibeli dari sumber-sumber lain.
"Yang dipertikaikan ialah kenapa BTN membazirkan wang rakyat hanya untuk menegakkan benang basah. Hanya setahun yang lepas Dr. Mahathir dicaci dan Pak Lah disanjung tetapi sekarang sudah terbalik. Apa piawaian yang diguna untuk menentukan kebenaran atau kebaikan. Tidakkah lakonan seperti ini menghina bekas Perdana Menteri dan mengelirukan rakyat?" tanya Dr Khairuddin.
Beliau berkata fakta perbicaraan kes pembunuhan Altantuya menunjukkan mayat wanita itu diletupkan menggunakan C4 oleh dua pegawai polis Unit Tindakan Khas (UTK) yang menjadi pengawal peribadi Najib.
"Pembunuhan oleh mereka tidak bermotif. Pelik dan ajaib. Takkan Polis yang gaji tak sampai RM1,500 sebulan nak habiskan duit kocek mereka nak beli C4. Kalau benar C4 boleh dibeli di luar maknanya negara kita dalam bahaya.
Adakah BTN ingin menjadikan pegawai-pegawai kerajaan yang hadir kursus menjadi bodoh dan dungu dengan ceramah-ceramah politik kosong tanpa fakta," kata beliau lagi.
Dr Khairuddin menggesa BTN agar jangan membazirkan wang rakyat kerana masih ramai golongan miskin, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) yang memerlukan bantuan kewangan.