Pengundi Penanti Dipindah Ke Kawasan Lain
(TV Antara) – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan calon PKR dalam pilihanraya kecil DUN Penanti, Mansor Othman mendakwa berlaku kes kehilangan nama pengundi dalam senarai pemilih.
Mansor mendakwa, sehingga jam 9.30 pagi tadi, terdapat tujuh hingga lapan nama pengundi, tidak ada dalam senarai pemilih.
Katanya, apa yang berlaku sama seperti ketika pilihanraya umum 2004 lallu di mana ramai pengundi dipindah ke kawasan lain tanpa pengetahuan mereka.
Sehubungan itu, Mansor menyuarakan kebimbangan bahawa perkara itu akan menjejaskan jumlah pengundian hari ini.
Lim juga menyifatkannya sebagai satu 'komplot' untuk mensabotaj pengundian hari ini.
Mansor pula berkata, PKR akan mengambil tindakan sewajarnya, termasuk membuat aduan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) jika terdapat banyak lagi kes kehilangan nama pengundi.
Sementara itu, seorang pengundi, Tan Soon Guan yang sudah dua kali mengundi sebelum ini – sewaktu pilihanraya umum 2008 dan pilihanraya kecil Permatang Pauh yang lalu – mendapati namanya tiada dalam senarai pemilih di pusat pengundian Jit Sin.
Pemeriksaan kemudiannya mendapati nama beliau telah dipindahkan ke DUN Berapit yang terletak di dalam kawasan Parlimen Bukit Mertajam.
Sementara itu, dalam reaksinya, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata pengundi sepatutnya memeriksa lebih awal nama mereka dalam senarai pemilih.
Dengan itu, katanya, pihak SPR akan dapat mengenalpasti masalah tersebut.
Oleh itu, Abdul Aziz berkata, mereka tidak boleh menyalahkan SPR mengenai perkara itu.