Melayu Telah Berubah, Utusan Belum….
Bagi kebanyakan orang, Ahad adalah hari untuk rehat kerana ia hari cuti. Malangnya Mingguan Malaysia semalam (31 Mei 2009) tidak membolehkan saya rehat dan merasa tenang. Malahan tulisan-tulisan dalam akhbar itu menimbulkan rasa kecewa, mengingatkan saya betapa jauhnya akhbar Melayu ini dari realiti sebenar kehidupan di Malaysia serta besar jurang pendirian akhbar itu dengan pemikiran orang Melayu masa ini.
by Zaid Ibrahim
Mungkin inilah menyebabkan Utusan semakin hari semakin kurang orang membacanya.Tema dan asas cerita utamanya adalah perkauman, perkauman dan perkauman.
Saya sebenarnya sudah malas baca tapi bila melihat tajuk “Melayu dikhianati?” tulisan ideolog utamanya Awang Selamat, saya paksa diri untuk tahu lebih lanjut. Kata Awang Selamat, semakin hari semakin teruk hatinya ditoreh oleh tuntutan kaum bukan Melayu yang dakwanya berbau rasis yanag berkemuncak sekarang ini dan bermula sejak keputusan pilihanraya yang lepas. Wah! Dengan lain perkataan, rakyat Malaysia mestilah menjaga hati Awang Selamat sebelum membuat apa-apa tuntutan kerana bila hati Awang Selamat tertoreh, maka hati UMNO pun tertoreh; dan bila hati UMNO tertoreh maka hati Melayu pun tertoreh. Begitulah agaknya logik Awang Selamat.
Dia tidak sedikit pun mengulas apa yang dituntut oleh rakyat Malaysia yang bukan Melayu itu. Apakah yang “kerterlaluan” itu? Kalau pun mereka bertanya soal biasiswa atau pembahagian tanah atau peluang kerja; tak bolehkah dijawab secara rasional dan berpandukan fakta. Mengapa mudah benar tertoreh hati? Apakah segala tuntutan orang bukan Melayu itu (yang ada hak di bawah Perlembagaan) tidak wajar dan tidak berasas? Mengikut Awang Selamat begitulah agaknya kerana 50 tahun dahulu UMNO dan Melayu telah “bermurah hati” memberi kerakyatan kepada nenek moyang mereka semasa Merdeka. Jadi kerana kerakyatan itu diberi atas ehsan dan besar hati UMNO maka anak cucu mereka tidak sama sekali boleh MEMBUAT APA-APA TUNTUTAN kerana mereka mesti sentiasa dan selama-lamanya mengenang budi kemurahan hati UMNO.
Pemikiran seperti inilah yang saya maksudkan sudah tidak laku dan ditolak oleh rakyat semua. Bila rakyat meminta sesuatu walau pun dari Melayu, Cina atau India, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan (dan akhbar yang bertanggung jawab menilainya) untuk cuba menunaikan permintaan tersebut. Kalau keterlaluan, terangkan saja mengapa tapi jangan ungkit sejarah untuk menutup kekurangan kita. Janganlah sentiasa naik marah dan mengugut dan memberi serpihan sejarah yang tidak lengkap untuk membuat modal politik.
Read more at: http://myzaidibrahim.wordpress.com/