‘Manohara buat fitnah bagi aibkan suami, istana’


(Utusan Malaysia) – Sahabat karib Tengku Temenggong Kelantan, Mohd. Soberi Shafii menyifatkan bekas model Manohara Odelio Pinot sedang meracuni orang ramai dengan fitnah bagi mengaibkan suami dan mencemari Istana Kelantan.

Beliau berkata, Tengku Mohammad Fakhry rela menerima hukuman jika dakwaan tersebut mempunyai bukti tetapi jika sebaliknya, Manohara juga mesti bersedia berhadapan dengan tindakan.

Menurut beliau, fitnah terbaru kononnya Manohara melarikan diri dari Singapura semalam adalah tidak berasas kerana Tengku Temenggong merestui kepulangan beliau ke Jakarta.

“Apa yang dipaparkan di laman-laman web mengenai fitnah Manohara terhadap Tengku Temenggong hanyalah untuk meraih simpati orang ramai terhadap dia dan ibunya, Daisy Fajarina.

“Semasa di Singapura, Tengku dan Manohara menginap di Hotel Royal Plaza apabila tiba-tiba ibunya muncul bersama-sama anggota polis dan wakil kedutaan Amerika Syarikat.

“Tengku menyambut baik kedatangan mereka dan apabila diadakan perundingan, Manohara meminta untuk pulang ke Jakarta mengikut ibunya dan Tengku mengizinkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan itu, katanya tidak timbul soal Manohara membuat kecoh untuk melepaskan diri kerana tidak ada sekatan atau halangan kerana dia dibenarkan pulang dengan baik.

“Jika betul dakwaan Manohara didera suami, kenapa tidak terus membuat pemeriksaan doktor untuk membuktikannya tetapi sebaliknya pergi kepada media,’’ katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan, apa yang sedang dilakukan oleh Manohara sekarang ini kerana dipengaruhi ibunya.

“Isu yang diperkatakan oleh ibunya sama seperti kenyataannya pada April lalu ekoran mahu menutup perasaan malu dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sana.

“Aktivis wanita yang membantu Daisy membuat laporan polis mengenai dakwaan penderaan suami ke atas Manohara tetapi apabila tidak ada bukti, dia telah menarik diri daripada terus membantu,” ujarnya.

Bagaimanapun beliau berkata, buat masa ini Tengku Temenggong tidak akan mengambil apa-apa tindakan kerana mahu menunggu perkembangan seterusnya daripada Manohara dan ibunya.

“Biar mereka habis dahulu dengan kenyataan-kenyataan yang hendak dikeluarkan dan selepas ini jika masih tidak mempunyai bukti, kebenaran dan keadilan akan menjelma,’’ katanya.



Comments
Loading...