Stadium runtuh, konsultan atau BN ‘cap ayam’?
Setakat ini semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan pembinaan SSMZA dipertanggungjawab dan dituntut memberikan penjelasan. Namun, masing-masing kelihatannya lebih berminat saling menuding jari.
Mat Zain Mat Isa, Harakah
INSIDEN keruntuhan bumbung utama Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Kuala Terengganu, Selasa (2 Jun) lalu masih diperkatakan masyarakat, terutama di Terengganu. Selain ulasan dan pandangan pelbagai pihak masih diberi liputan lewat media cetak dan elektronik, isu itu juga masih memanaskan forum-forum informal dalam masyarakat.
Di mana saja wujud medan bual bicara, sama ada di anjung masjid dan surau, di atas wakaf dan hentian pengangkutan, di warung dan kafe, mahu pun di bengkel dan pejabat, cerita bumbung stadium runtuh meniti bibir rakyat. Pendek kata, hampir tidak ada warga negeri Terengganu yang mumayyiz dan akil baligh, yang tidak buta, pekak dan bisu, yang tidak ikut serta membicarakan isu tersebut.
Ia diakui pelbagai pihak sebagai isu besar dan menggemparkan. Sebab-musababnya sangat banyak. Pertama kerana kehadiran stadium itu terlalu hebat digemariuhkan, terutama oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), sebermula tercetusnya idea pembinaannya sejak tahun 2004 lagi.
Penuh papan tanda besar
Bayangkan, hampir tiada lokasi strategik sepanjang beberapa jalan utama sekitar Kuala Terengganu yang tidak dipacakkan dengan papan tanda besar memaparkan gambar stadium yang bakal dibina itu. "Nak stadium? Impian Kini Menjadi Realiti!" begitulah lebih kurang bait tertulis di atasnya.
Kata-kata itu disertakan dengan empat gambar projek besar BN yang kononnya sangat-sangat diimpikan seluruh rakyat, sedangkan ia hanyalah pemuas nafsu serakah dan ego para pemimpin BN sendiri. "Nak universiti? Nak lebuh raya? Nak lapangan terbang?" papan-papan tanda itu memasyhurkan projek mega BN itu.
Sebab itu boleh dikatakan hampir tidak ada rakyat Terengganu yang tidak tahu kehadiran stadium baru di negeri mereka. Setahun sebelum bermulanya kerja pembinaannya, cerita mengenainya sudah bertebaran serata negeri. Hinggakan nyaris nak termuntah rakyat mengulangbacanya bertahun-tahun.
Kedua, liputan media mengenai pembinaannya agak menonjol. Kos pembinaan stadium itu dikatakan RM292 juta. Ia memuatkan kapasiti penonton sejumlah 50,000 orang. Selain menempatkan padang bolasepak, ia juga menyediakan gelanggang tertutup untuk prasarana boling dan skuasy.
Banyaknya TER …
Uniknya, ada beberapa "TER …" yang dimiliki stadium itu. Antaranya penggunaan spesifikasi TERmoden, TERkini dan berteknologi tinggi dalam pembinaanya.
Ia merupakan stadium pertama di Pantai Timur menggunakan rumput TERmoden dikenali sebagai 'cow grass'.
Sejarah lebih membanggakan bagi Terengganu ialah apabila SSMZA dikatakan stadium pertama di Asia menggunakan sistem bumbung tanpa kolum (space frame structure), yang mana kesemua 134 meter bumbungnya dibina tanpa tiang sokongan. Hebat! Hebat! Kalah semua stadium di Jepun, Korea mahu pun China. Tak usah disebut Thailand, Singapura atau pun Laos!
Ketiga, sebaik siap, stadium itu menjadi gelanggang utama temasya sukan tahunan yang paling berprestij dalam negara. Sukan Malaysia (Sukma) 2008 berpusat aktiviti utamanya di SSMZA. Maka cerita dan gambar pelbagai sudut stadium yang baru siap dibina itu memenuhi tidak sedikit ruang media dan turut menerobos ruang minda rakyat.
Keempat, lokasi kompleks sukan itu yang berdekatan dengan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) menyebabkan ia menjadi tumpuan untuk tujuan lain. Bermula musim haji lalu stadium tertutup bersebelahan SSMZA dijadikan tempat para hujjaj berhimpun sebelum bertolak ke tanah suci dari LTSM.
Terlopong dengan hebatnya stadium
Maka budaya rakyat yang gemar mengerah seluruh anggota keluarga menghantar sanak-saudara yang nak berangkat ke Makkah membantu memasyhurkan lagi stadium yang serba canggih itu. Setiap yang hadir, walau pun bukan atas hasrat menyaksikan acara sukan, ternganga dan terlopong dengan keperkasaan binaan SSMZA dan keunikan struktur bumbungnya. Cerita ketakjuban mereka terhadap stadium itu dibawa balik ke segenap pelusuk negeri.
Sebab itu apabila pada Selasa lalu ia runtuh, berita mengenainya sukar lekang dari bualan masyarakat. Macam-macam luahan dan soalan timbul. Bagaimana mungkin stadium yang baru siap sudah runtuh? Macam mana boleh stadium yang sangat canggih runtuh juga? Belum pernah berlaku dalam negara kita kse seperti itu.
Ada yang pernah tengok stadium itu, belum puas menengoknya dan berniat menengoknya sekali lagi. Ada yang baru dengar cerita mengenai kehebatannya dan sudah pasang niat nak ke Gong Badak menengok sendiri struktur unik itu. Tahu-tahu ia sudah runtuh.
Setakat ini semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan pembinaan SSMZA dipertanggungjawab dan dituntut memberikan penjelasan. Namun, masing-masing kelihatannya lebih berminat saling menuding jari.
Apa yang dapat difahami dari kenyataan pelbagai pihak itu, projek ini adalah di bawah kerajaan negeri Terengganu, bukan kerajaan Pusat. Bagaimana pun keaiban atas keruntuhannya turut ditanggung negara.
Sudah banyak aduan
Selaku ketua kerajaan negeri, Dato' Ahmad Said menjadi orang paling "panas telinga". Beliau mendedahkan telahpun beberapa kali memberi amaran kepada pihak bertanggungjawab mengenai kebimbangannya atas tahap keselamatan bumbung stadium itu. Malah, katanya, kerosakan itu telah pun beliau sedari sejak hari perasmiannya pada 10 Mei 2008 lalu.
Ahmad juga mempersoalkan ketelusan cadangan dan kelulusan daripada juruperunding yang memeriksa struktur stadium berkenaan kerana mereka dilantik pihak kontraktor. Sedangkan pada pandangannya pemilihan itu sewajarnya diputuskan Jabatan Kerja Raya (JKR).
"Konsultan yang buat pemeriksaan ini dilantik oleh kontraktor sendiri. Macam mana konsultan itu nak buat pemeriksaan terperinci (termasuk menolak apa yang dibuat kontraktor) sebab dia pun dibayar oleh kontraktor? Sebab itu struktur bangunan seperti ini perlu diperiksa oleh juruperunding bebas," Ahmad meluahkan rasa tidak puas hatinya.
Ungkapan itu bagaikan tidak cukup memuaskan baginya menerangkan perasaan bengangnya atas insiden memalukan itu, menyebabkan beliau tidak segan melabelkan pihak terbabit sebagai 'cap ayam'.
"Sebab itu sekarang ini banyak kita tengok projek yang tak berjalan dengan sempurna kerana konsultannya 'cap ayam'," Ahmad menzahirkan keperibadiannya yang sebenar.
Istilah 'cap ayam' adalah antara label yang laris digunakan di Terengganu. Ia bermaksud koman, tidak berkualiti atau tidak professional, malah tidak boleh digunapakai.
Dalam keadaan yang ada, memang mudah bagi Ahmad melonggokkan kesalahan pada pihak lain. Apatah lagi beliau tidak terlibat dengan idea pembinaan SSMZA dan kerja awalnya, termasuk pemilihan kontraktor dan konsultannya.
Bagaimana pun, sepertimana diakuinya sendiri bahawa kelemahan dan kerosakan pada binaan stadium itu telah pun disedarinya sejak tahun lalu, mengapa beliau sendiri mengambil masa terlalu lama memastikan ia diperbetulkan?
Apakah label 'cap ayam' itu tidak wajar turut diberikan kepada kerajaan BN yang seolah-olah tidak berupaya mengarahkan tindakan segera jabatan, agensi dan semua pihak terlibat dengan projek itu memperbaikinya?
Jika konsultannya dikatakan 'cap ayam', kontraktor yang melantiknya juga 'cap ayam'. Maka bukankah kerajaan yang memilih kontraktor itu juga 'cap ayam'?