Jangan pertikai kedaulatan Yang di-Pertuan Agong


(Utusan Malaysia) – Sultan Perak Sultan Azlan Shah bertitah bahawa sebarang gerakan yang dicetuskan untuk mempertikaikan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera bukan sahaja telah melanggar peruntukan asas dalam Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri, malah turut mempertikaikan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.

Perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri ini adalah persetujuan yang dicapai secara bersama dalam semangat memberi dan menerima, serta dalam semangat memahami dan menghormati di kalangan pemimpin yang mewakili kepentingan pelbagai kaum ketika kemerdekaan negara sedang dirundingkan.

“Persetujuan tersebut telah dicapai di antara pemimpin pelbagai kaum, kerajaan Inggeris dan juga Raja-raja Melayu,” titahnya pada perasmian Majlis Wacana Ilmu di Institut Tadbiran Islam Perak di sini hari ini. Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah.

“Pemimpin di negara ini mempunyai tanggungjawab politik dan kenegaraan untuk menghormati asas-asas yang menjadi tunjang kedaulatan sebuah negara merdeka dan asas-asas yang menjadi akar kepada hubungan kaum yang harmonis iaitu asas-asas yang telah dipersetujui ketika negara menggubal Perlembagaan Merdeka,” titah Baginda.

Sultan Azlan bertitah penyimpangan daripada semangat asal yang telah dicapai itu tentunya akan mencetuskan kegelisahan dan mengheret negara kepada keadaan ketidaktentuan.



Comments
Loading...