1 Malaysia: Diantara realiti dan fantasi


Sebaik sahaja diangkat menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke-enam, Datuk Seri Najib Razak melancarkan gagasan “Satu Malaysia” atau dalam Bahasa Inggeris di panggil “1 Malaysia”.

By Amin Iskandar

Selain daripada itu, Najib turut melancarkan slogan “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan”, mengingatkan kita slogan-slogan di zaman Perdana Menteri terdahulu seperti “Bersih, Cekap dan Amanah” dan “Cemerlang, Gemilang dan Terbilang”.

 

Diantara komponen terpenting dalam gagasan 1 Malaysia yang dibawakan Perdana Menteri ialah rakyat Malaysia tidak kira Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Murut, Melanau dan lain-lain bersatu sebagai bangsa Malaysia.

Najib mengakui bahawa konsep 1 Malaysia ini bukanlah satu konsep baru. Ia adalah kesinambungan daripada kepimpinan negara yang terdahulu dan bercita-cita untuk menyatupadukan rakyat Malaysia dari pelbagai latarbelakang kaum dan agama.

Dalam Wawasan 2020 yang dicadangkan semasa era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, turut mensasarkan pada tahun 2020, rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama akan hidup sebagai bangsa Malaysia.

Malaysia hanya tinggal 11 tahun sebelum tahun 2020. Jika dilihat keadaan semasa dan politik hari ini, bangsa Malaysia sukar diwujudkan menjelang tahun 2020 nanti.

Setelah lebih 50 tahun Malaysia merdeka, negara masih lagi membicarakan tentang rancangan untuk menyatupadukan rakyat sebagai satu bangsa walaupun itulah perkara yang harus ditekankan dan dilaksanakan diawal penubuhan Malaya dan Malaysia dahulu.

Negara jiran kita Indonesia yang merdeka 12 tahun sebelum kita telahpun menyelesaikan permasalahan yang ingin diselesaikan oleh Malaysia pada ketika ini di era Presiden pertama mereka, Sukarno.

Di Indonesia, semua rakyat yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang etnik dan agama bersatu sebagai bangsa Indonesia. Mereka bercakap dalam satu bahasa yakni bahasa Indonesia. Mereka sudah selesai dengan isu pokok tersebut dikala jirannya Malaysia masih lagi terkial-kial mencari hala tuju untuk mewujudkan “bangsa Malaysia”.

Penulis bersekolah disebuah sekolah yang terletak ditengah-tengah bandar Kuala Lumpur. Najib dikatakan pernah bersekolah disekolah ini sebelum beliau melanjutkan pelajarannya ke luar negara.

Semenjak berada di bangku sekolah rendah lagi, kami telah diajar untuk menghormati kawan-kawan dari pelbagai kaum dan agama. Pihak sekolah akan mengadakan sambutan perayaan-perayaan seperti Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Deepavali untuk mendidik anak-anak agar mengenali dan menghormati sesama sendiri. Saya percaya, jika di sekolah tersebut mempunyai pelajar-pelajar Iban dan Kadazan, Hari Gawai dan Tadau Kaamatan pasti akan turut disambut oleh pihak sekolah!

Pada ketika itu, tidak pernah terlintas di hati penulis untuk melihat kawan-kawan lain sebagai orang Cina atau orang India sehinggalah kami mula mendapat kad pengenalan. Ini adalah kerana dalam kad pengenalan, kami mula dibeza-bezakan mengikut agama.

Read more at: http://www.aminiskandar.com/?p=2114



Comments
Loading...