Lebih baik berbincang daripada berdebat – Abdullah


(Bernama) – Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini menasihatkan Pas dan Umno supaya menyelesaikan kemelut antara dua parti itu secara perbincangan dan bukan berdebat secara terbuka.

Beliau berkata, pendekatan berdebat itu tidak akan membawa kedua-dua parti itu ke mana-mana jika isu atau masalah pokok yang dihadapi masyarakat Melayu dan Islam tidak diselesaikan.

“Tak perlulah pendekatan seperti itu (debat terbuka). Adalah lebih baik kedua-dua parti itu duduk dan berbincang apa yang menjadi masalah sehingga menimbulkan keadaan tidak senang hati di kalangan orang Melayu.

“Apakah masalah itu ada kaitan dengan agama yang menyebabkan perselisihan faham dan menyebabkan Umno dan Pas bercanggah pendapat dan pendirian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung MCA bahagian Kepala Batas, di sini hari ini.

Menurutnya, orang Melayu boleh bergaduh dan berpecah belah kerana agama dan adalah lebih baik kedua-dua pihak mewujudkan persefahaman dan tidak berbalah tentang perkara itu lagi supaya keadaan dalam masyarakat Melayu lebih tenang.

Abdullah, yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas, kedua-dua parti itu perlu menyelesaikan bersama isu penting tentang Melayu dan Islam segera supaya mereka tidak bertelagah lagi mengenainya pada masa akan datang.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas hasrat Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengajak Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengadakan debat secara terbuka untuk menyelesaikan kemelut politik antara kedua-dua parti itu.

Nik Aziz dilapor akan menghantar surat mengenai perkara itu kepada Najib.

Abdulah berkata, Pas dan Umno harus mewujudkan perpaduan demi masa depan Melayu dan agama Islam tetapi ini tidak bermakna mereka tidak boleh berbeza pendapat dan pandangan.

“Apa yang penting ialah mencari jalan penyelesaian berhubung isu Melayu dan agama Islam dan tidak bergaduh tentang perkara ini lagi,” katanya.

Ketika ditanya sama ada idea kerajaan perpaduan antara Pas dan Umno perlu diteruskan pada masa akan datang, Abdullah berkata, terpulang kepada Pas dan Umno untuk menentukannya tetapi baginya apa yang penting ialah menangani isu yang wujud di kalangan orang Melayu.

Beliau juga meminta Nik Aziz supaya tidak membuat pelbagai tuduhan yang mengaitkan Umno dengan komunis dan sebagainya kerana ia adalah perbuatan yang tidak baik.

“Dia terlajak cakap tu… tak elok buat tuduhan seumpama itu,” katanya.



Comments
Loading...