UMNO mampu pikat semula hati orang Melayu


(Bernama) – Tun Dr Mahathir Mohamad yakin Umno masih berpeluang memikat hati orang Melayu dan penyokong parti itu serta Barisan Nasional (BN) jika ia berusaha keras memulihkan kepercayaan rakyat terhadapnya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata Umno perlu membuat bedah siasat dan mendedahkan punca sebenar rakyat menolak BN setelah memenangi 11 pilihan raya umum dengan selesa.

“Masalahnya sekarang adalah untuk membersihkan Umno daripada rasuah.

Sekiranya Umno terus memberi tempat atau mencalonkan orang yang memenangi jawatan kerana rasuah, susah baginya untuk menang pada pilihan raya akan datang.” “Bukan semua yang menang kerusi Majlis Tertinggi (MT) melakukan rasuah tetapi majoriti daripada mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) Kedah di sini, hari ini.

Mantan presiden Umno itu berkata walaupun beliau kecewa dengan perlakuan rasuah dalam parti tetapi pada masa sama gembira kerana ada usaha untuk memulihkan balik kepercayaan rakyat terhadapnya.

“Saya tahu rasuah sukar dihapuskan tetapi berharap ia boleh dikurangkan.

Maksudnya orang yang rasuah kena rotan tetapi apabila dibenarkan bertanding yang menyebabkan rasuah berleluasa,” tambahnya.

Beliau berkata peluang untuk Umno dan BN merampas kembali negeri-negeri yang dimenangi parti lawan tidak mustahil dengan syarat amalan rasuah dibersihkan dari bawah walaupun agak sukar.

“Umno perlu sedar undi ahlinya sahaja tidak cukup untuk memenangi pilihan raya kecuali dengan sokongan penyokongnya dan BN,” kata Dr Mahathir.

Katanya pemilihan naib presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal diyakini mampu membawa perubahan dalam usaha merampas kembali Kedah daripada parti lawan.

Dr Mahathir menganggap sokongan kepada Mohd Shafie daripada barisan kepimpinan Umno Kedah pada masa ini cukup bagus untuk membolehkan naib presiden parti ini menjalankan tugasnya dengan baik.

Ketika berucap merasmikan mesyuarat agung itu, Dr Mahathir berkata beliau bersedia dan akan berusaha memulihkan Umno sekiranya dikehendaki dan Umno tidak boleh menyalahkan kaum Cina dan India akibat kekalahan teruk BN pada pilihan raya umum tahun lepas.

“Kita kena cakap mengenai kebenaran dan hakikatnya rakyat kecewa dengan kepimpinan Umno. Untuk dihormati kenalah jadi Melayu yang bermaruah,” kata beliau.

Sebelum itu, ketika berucap Mohd Shafie mengulangi bahawa beliau tidak berhasrat sama sekali untuk menjadi Menteri Besar Kedah atau bertanding di negeri ini pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya melihat pemilihan menjadi pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah satu tanggungjawab dan amanah dan berharap sebarang masalah remeh-temeh dari akar umbi diketepikan terus,” kata beliau.

Turut hadir timbalan pengerusi Perhubungan Umno Kedah, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah serta Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir.



Comments
Loading...