Jaga lah Petronas Baik Baik


Oleh Zaid Ibrahim

Kebelakangan ini banyak yang memperkatakan tentang kuasa Perdana Menteri untuk melantik sesiapa sahaja yang disukainya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Petronas. Kuasa itu juga membolehkan Perdana Menteri memecat sesiapa sahaja yang tidak disukainya. Arahan Perdana Menteri mesti diikut. Begitulah kedudukan Petronas, seolah-olah ianya adalah milik peribadi Perdana Menteri.

Tengku Razaleigh Hamzah mengesahkan kuasa Perdana Menteri yang begitu luas seperti yang terkandung dalam Peraturan Tubuh Petronas (Articles of Association). Tengku Razaleigh juga seolah-olah menyokong kuasa yang luas itu diberi kepada Perdana Menteri. Beliau menggunakan alasan bahawa Petronas adalah untuk rakyat, jadi Perdana Menteri yang ditugaskan menjaga rakyat wajar memegang kuasa yang tidak terhad itu untuk kepentingan rakyat. Masalahnya, kepentingan pemimpin tidak samesti nya sama dengan kepentingan rakyat ; dan ada pemimpin yang berpendapat kepentingan pemimpin itu samalah dengan kepentingan rakyat. Dengan kuasa luas itu , ia membolehkan Najib Tun Razak untuk menggunakan kuasa penuhnya bagi melantik Omar Ong ke dalam Lembaga Pengarah Petronas, dan kalau perlu, memecat sesiapa sahaja yang dia tidak berkenan . Ia juga bererti arahan PM mesti di ikuti .

Petronas memang untuk rakyat dan Perdana Menteri ditugaskan dan diamanahkan untuk menjaga rakyat. Tapi kita tahu tak semua pemimpin bersifat amanah dan tidak semua mementingkan rakyat. Hari ini hampir separuh perbelanjaan kerajaan dibiayai oleh Petronas. Dengan lain perkataan kalau Petronas muflis atau disalahgunakan, maka muflislah Malaysia.

Kita orang Melayu dan juga rakyat Malaysia yang lain biasa benar dengan ungkapan peribahasa “harapkan pagar, pagar makan padi”. Jadi amatlah perlu Perdana Menteri meminda undang-undang tubuh Petronas supaya lebih sesuai dengan keadaan sekarang. Pada masa tertubohnya Petronas memang wajar peranan dan kuasa PM samestinya luas untok menjayakan sesuatu yang baru, lagipun tak ramai anak tempatan yang boleh membuat keputusan besar dan penting. Hari ini keadaan telah banyak berubah. Ia lebih memerlukan pakar pakar yang luas kemahiran untok menjaga kepentingan bisnes yang global dan rumit itu. Biarlah pihak pengurusan melaksanakan tugas secara profesional tanpa selalu terikat dengan “arahan” Perdana Menteri, kerana kita sentiasa perlu waspada kalau pagar akan makan padi.

READ MORE HERE:



Comments
Loading...