Wacana dengan Pemuda Umno tanda sokongan kepada Nik Aziz


(SIASAH) – Pemuda PAS menyifatkan hasrat untuk mengadakan wacana ilmiah bersama Pemuda Umno merupakan tanda sokongan kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang sebelum ini membuat cabaran kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan isu sesat.

Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Ahmad Sabki Yusof berkata, wacana bertujuan mencari kebenaran atas isu tersebut secara ilmiah.

Beliau juga menegaskan pertemuan dengan pemuda Umno itu tidak dinamakan debat seperti mana istilah digunakan sebelum ini tetapi ditukar kepada wacana ilmiah.

“Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Hassan memutuskan untuk tidak menggunakan istilah debat kerana sebelum ini Khairy Jamaluddin telah tiga kali dicabar untuk berdebat. Namun sehingga kini tidak ada sebarang jawaban. Jadi jemputan kali ini dinamakan wacana ilmiah,” kata beliau dalam satu satu sidang media yang diadakan di ibu pejabat PAS hari ini.

Dalam sidang media yang sama Sabky turut memperbetulkan salah lapur yang mendakwa wujudnya dialog kerjasama antara Pemuda PAS dan Pemuda Umno.

Dakwaan itu berikutan rentetan penyerahan surat rasmi kepada Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim oleh Nasrudin di lobi parlimen semalam untuk mengadakan Wacana Ilmiah Terbuka yang bertajuk : Benarkah Perjuangan Umno Tidak Bertentangan Dengan Islam.

Tegas Ahmad Sabki lagi, Pemuda PAS akan mengadakan wacana tersebut secara terbuka dan bukannya secara rundingan seperti yang digemburkan oleh setengah media.

Kata beliau sekiranya Pemuda Umno bersetuju, wacana tersebut akan diadakan selepas pilihan raya keci; Manek Urai, kerana dalam masa terdekat ini Pemuda PAS akan memfokuskan untuk membantu kemenangan calon PAS dalam pilihan raya itu.



Comments
Loading...