UMNO pembela nasib melayu?


By Hang Jebat

'Letupan gunung berapi' yang berlaku di Kampung Lorong Buah Pala, Pulau Pinang baru-baru ini yang mengisi ruang media cetak dan elektronik, saya percaya telah membuka mata banyak pihak di seluruh tanahair. Walau pun ramai yang mungkin kurang bersetuju dengan pandangan saya, penduduk-penduduk kampung tersebut adalah warga negara Malaysia dan tidak boleh dinafikan hak mereka untuk terus dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. 

Namun demikian, intipati permasalahan yang terus menganggu fikiran saya bukannya hak penduduk-penduduk 'High Capparal' (HC) tetapi jumlah pampasan yang ditawarkan oleh Koperasi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (KPPKK) dan Nusmetro Ventures (NV) kepada mereka. Terus-terang, saya amat terkejut apabila pendedahan tentang jumlah tersebut dibuat oleh media kepada umum. Jumlah RM140,000 sehingga RM260,000 termasuk RM330,000 dan lot tanah tanpa sewa kepada salah seorang penternak lembu yang tinggal di HC sudah tentu terlalu lumayan untuk ditolak oleh sesiapa sahaja yang menumpang di tanah milik kerajaan.

Kemudian timbul pula persoalan tentang legitimasi keputusan Mahkamah Persekutuan (FC) yang berpihak kepada KPPKK dan NV lantas memberi lampu hijau untuk projek bergelar 'The Oasis' (TO). Keputusan FC adalah muktamad dan hampir tiada ruang untuk merayu keputusan tersebut dalam mana-mana mahkamah dan tidak perlu seseorang menjadi peguam bahkan sesiapa sahaja yang menamatkan pengajian di Tingkatan 6 dapat memahami perkara ini.

Persoalannya, kenapa rintihan penghuni HC diberikan perhatian yang begitu meluas sedangkan jumlah mereka amat kecil, sekitar 23 keluarga sahaja?

Saya tidak bersetuju dengan dakwaan penghuni HC bahawa kampung tersebut adalah sebuah kampung warisan kaum India. Sesiapa yang pernah berkunjung atau sekurang-kurangnya melalui kawasan tersebut akan mendapati tiada apa yang istimewa dengan cara hidup masyarakat India di HC. Jika cara hidup mereka yang biasa dianggap warisan, maka semua penempatan kaum India yang ada di Malaysia harus dianggap sedemikian. Di mana kesudahan permasalahan ini?

Apa yang saya coretkan di atas adalah isu umum yang mungkin perlu diambil maklum oleh pengamal atau penuntut undang-undang untuk dijadiakan kajian kes, tidak lebih daripada itu. Tetapi pendedahan yang dibuat telah membuka mata orang-orang Melayu terutamanya di negeri Pulau Pinang berkenaan angka-angka keramat 140,000 atau 260,000 dan 330,000.

Kenapa orang Melayu tidak pernah ditawarkan jumlah pampasan yang begitu tinggi atau masalah mereka diberi publisiti meluas sehingga mencetus gerakan penentangan besar-besaran? Rumah-rumah milik orang Melayu termasuk surau yang mereka bina dengan hasil kudrat mereka sendiri pernah dirobohkan oleh kerajaan negeri pimpinan UMNO tanpa belas kasihan di merata ceruk negara. Kenapa mereka ini tidak ditawarkan pampasan yang mencecah angka-angka keramat 140,000 atau 260,000 atau 330,000?

Cakap-cakap kedai kopi di Pulau Pinang mula mempersoalkan jumlah pampasan RM30,000 sehingga RM50,000 atau sebuah rumah pangsa kos rendah untuk penempatan semula keluarga Melayu yang kadang-kadang sebesar 10 orang atau lebih. Adakah orang-orang Melayu perlu memilih kerjaya penternak lembu supaya layak ditawarkan pampasan yang begitu besar?

Pada masa sekarang, orang-orang Melayu di sesetengah kawasan sudah mula menyalahkan pemimpin-pemimpin UMNO di tempat mereka apabila membincangkan isu pampasan kepada orang Melayu. Perkara ini ada benarnya. Lazimnya, pemimpin UMNO yang mabuk kuasa akan mensyaratkan kepada pemaju supaya tidak membuat sebarang tawaran tanpa restu UMNO Bahagian. Apa-apa perbincangan mesti melibatkan Ketua Bahagian atau sekurang-sekurangnya pengerusi Biro Perumahan. Kenapa? Wakil-wakil daripada UMNO Bahagian yang dilantik sebagai ahli-ahli majlis PBT akan cuba mengganggu proses permohonan oleh pemaju dan apabila pemaju tunduk kepada tekanan seperti ini untuk mengelakkan kerugian yang lebih besar, maka terciptalah peluang tawar-menawar antara pemaju dan Ketua Bahagian berkenaan.

Akhirnya, sebahagian besar pampasan akan diterima oleh Ketua Bahagian dan saki-baki yang ada akan diagihkan oleh pemaju kepada orang-orang Melayu terbabit. Jika ada sesiapa yang cuba membawa kes ke mahkamah, mereka akan ditakut-takutkan dengan cerita dongeng kononnya mahkamah tidak akan memberikan apa-apa pampasan. Semuanya, hanya untuk menutup kerja kotor yang dilakukan oleh pemimpian UMNO Bahagian.

Jika anda meragui apa yang saya bicarakan, sila selidik apa yang berlaku di UMNO Bahagian Jelutong, Pulau Pinang.

Walau apa pun natijahnya, saya menyokong cadangan untuk membangunkan HC menjadi projek kediaman atau komersial yang lebih teratur bukan kerana dengki atau iri hati tetapi pernah beberapa kali saya terpaksa memberhentikan kenderaan di tengah-tengah jalan berhampiran dewan orang ramai Tmn Tun Sardon yang berhampiran dan membiarkan berpuluh-puluh ekor lembu milik penternak HC melalui jalan tersebut dan bergesel dengan kereta saya yang mengakibatkan calar-balar di badan kereta dan kerosakan pada cermin sisi dan lampu.

Kepada 23 keluarga HC, teruskan perjuangan anda dan kepada semua orang-orang melayu….. tuntutlah RM140,000 sehingga RM260,000 atau RM330,000 sekiranya anda terpaksa berpindah untuk memberi laluan kepada projek pembangunan di kawasan anda. Jangan kasi CAN kata mamu-mamu. Hidup Melayu!!!!!!!!!!!

Wallahua'lam.



Comments
Loading...