Dulu kan polis mengertak perhimpunan ‘Mansuh PPSMI’?


By Faisal Mustaffa (Centre for Policy Initiatives)

Akhirnya atas desakan rakyat dan usaha berterusan rakyat, kerajaan tunduk dan membuat keputusan memansuhkan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Persoalan sekarang ialah pihak kerajaan khususnya Ketua Polis Negara (IGP) haruslah bertanggungjawab akibat tindakan polis pada hari perarakan Mac 7, 2009. Atas dasar apa kerajaan perlu mengerahkan anggota polis dalam angka yang besar serta menembak gas pemedih mata ke arah orangramai yang berhimpun hari itu?

Pampasan harus diberikan atas usaha mereka [penyokong Gerakan Mansuhkan PPSMI ataupun GMP] yang gigih sehingga matlamat perarakan mereka pada bulan Mac lalu kini mencapai matlamat.

Seperti yang kita sedia maklum, anggota polis, trafik dan FRU hanya ‘menurut perintah’. Soalannya, siapa yang mengeluarkan perintah? Sudah semestinya bukan Yang DiPertuan Agong kerana Agong pada dasarnya tidak mempunyai halangan dan sedia menerima memorandum GMP itu.

Sekurang-kurangnya, IGP sekarang ini harus bertindak jantan dengan mengemukakan surat terbuka memohon maaf kepada rakyat Malaysia, terutama sekali kepada GMP, serta ucapan tahniah atas usaha murni mereka.

Peristiwa Mac 7, 2009

Pada tarikh tersebut, GMP telah berjaya mengumpulkan ribuan rakyat dengan berpakian putih dengan bersemangat mahu mengiringi penyerahan memo tersebut sungguhpun kehadiran polis dengan segala peralatan ‘perang’ mereka.

Pada mulanya polis enggan mengeluarkan permit perhimpunan. Polis juga memberi amaran berkali-kali agar rakyat tidak menyertai perhimpunan 'haram'.

Kemudian, pihak polis telah membenarkan perhimpunan membantah PPSMI tetapi permit diluluskan untuk perhimpunan di Masjid Negara sahaja dan tidak di dua lokasi yang lain iaitu Pasar Seni dan pusat membeli-belah Sogo. Malah perarakan dari Masjid Negara ke Istana Negara bagi menyampaikan memo juga tidak dibenarkan.

Pada seawal 9 pagi lagi, polis sudah berkawal dan mengadakan 16 sekatan jalan seperti di Pasar raya Sogo, Masjid Negara, Pasar Seni, Istana Negara, Jalan Brickfields, Jalan Kuching, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Sungai Ramal, Kajang dan lain-lain.

Pada jam 1 tengah hari, selepas penyokong anti-PPSMI menjadi semakin ramai, kelihatan helikopter polis berlegar-legar di udara bagi mengira jumlah, lokasi serta arah aliran penyokong demo.
Pada kira-kira jam 2 petang, sewaktu perarakan hendak dimulakan, polis telah bertindak mengepung Masjid Negara bagi menghalang penyokong-penyokong seramai 8,000 yang berkumpul di dalam kawasan masjid berarak ke Istana Negara.

Hampir kesemua berpakaian baju-T putih dengan tulisan merah 'Mansuhkan PPSMI', 'Daulatkan Bahasa Kebangsaan', 'Selamatkan Bahasa Ibunda', 'Tingkatkan Pengajian Bahasa Inggeris di Sekolah'. Mereka bergerak melalui Jalan Kinabalu dan di bulatan bergerak ke Jalan Kampung Attap dan Jalan Syed Putra dan menuju Istana Negara yang terletak di Jalan Istana.

Kemudian, trak merah FRU dan lori meriam air bergerak dari Taman Tasik Perdana mengikut Jalan Tun Sambanthan ke Jalan Syed Putra dan menghalang orang ramai di lebuhraya Mahameru.

Ketua polis memberi amaran kepada orang ramai jangan mendekati kawasan Istana Negara.

Polis mula bertindak ganas pada jam 2.40 petang ketika anggota FRU yang berbaris di lebuhraya Mahameru melepaskan 10 tembakan gas pemedih mata. FRU juga telah melepaskan tembakan di luar Masjid Negara. Seramai 124 orang telah ditangkap di pelbagai lokasi.

Bantahan susulan

Cuba bandingkan. Penjajah British dalam tahun 1940-an pun sanggup membenarkan perhimpunan damai membantah Malayan Union, tetapi kerajaan kita ini tidak.

Read more at: http://english.cpiasia.net/index.php?option=com_content&view=article&id=1618:dulu-kan-polis-mengertak-perhimpunan-mansuh-ppsmi-&catid=218:faisal-mustaffa&Itemid=156



Comments
Loading...