PM mesti berani melawan rasisme


Zaid Ibrahim

Kira-kira sebulan yang lalu saya ditanya oleh seorang profesor Melayu apa sebabnya saya membuat ucapan pada bulan Februari tahun ini merayu supaya DYMM Yang di-Pertuan Agong tidak melantik Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri untuk menggantikan Pak Lah.

Saya memberitahu profesor ini bahawa saya berpendapat Najib bukanlah orangnya yang boleh menyelamatkan Malaysia; malah di bawah pemerintahan Najib akan bermulanya keruntuhan Malaysia yang kita sayangi ini. Itu sebabnya saya cadangkan supaya orang lain yang dipilih. Biasalah, ramai pendekar UMNO yang marah dan melenting, dan ada yang kata saya ini bodoh dan jahat.

Saya sedar UMNO parti terbesar dalam Parlimen, maka Perdana Menteri mestilah datangnya dari UMNO. Tapi ia tidak semestinya Najib. Saya berpendapat Tengku Razaleigh Hamzah, Yang Berhormat dari Gua Musang, lebih sesuai menjadi Perdana Menteri. Buat masa ini, dia sahajalah Ahli Parlimen UMNO yang paling kanan yang tidak perkauman atau tidak rasis (racist). Hanya Perdana Menteri Melayu yang tidak rasis sahaja boleh menyelamatkan negara ini.

Tengku Razaleigh memang kuat nasionalismenya; memang pejuang Melayu yang tulen tetapi tidak terdengar ucapan dibuat olehnya yang membenci dan menghina kaum lain dalam apa-apa isu. Dia boleh mengatasi isu rumit tanpa mengapi-apikan rasa perkauman atau menggunakan kekerasan. Dia tidak akan menggunakan polis dan SPRM untuk menjatuhkan musuh politiknya. Dia tidak akan melantik orang yang rasis untuk menjadi pengarang akhbar. Isterinya pula tidak akan rasa tersinggung kalau gambarnya tak keluar dalam akhbar.

Tapi sayang sekali, Tengku Razaleigh masih menaruh harapan yang dia mampu menyelamatkan UMNO. Bagi saya, UMNO hari ini bukan lagi UMNO yang diperjuangkan oleh Ku Li dahulu. Mungkin lebih baik rasanya kalau Ku Li pertimbangkan untuk sertai Parti Keadilan Rakyat.

Kebanyakan wakil rakyat dan pemimpin UMNO tidak tahu membezakan tanggung jawab nasionalisme daripada pemikiran fasis dan rasis. Sebab itu mereka tidak boleh menyelesaikan masalah negara atau pun menyelamatkan Malaysia. Sebab itu akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia sering mencerminkan pemikiran jahat yang membenci kaum daan agama lain. Sememangnya mereka tidak ada minat dan hasrat untuk meniliti dan menilai satu-satu masalah secara objektif dan rasional. Yang mereka tahu hanya mengapi-apikan perasaan perkauman.

READ MORE HERE



Comments
Loading...