Satu Lagi Surohanjaya?


Zaid Ibrahim

Kata Dr Mahathir orang Melayu mudah lupa; saya pula kata orang Malaysia juga mudah lupa. Dari tragedi kematian Teoh Beng Huat, ada antara kita yang sudah pun puas hati dengan pengumuman penubuhan Suruhanjaya Diraja oleh kerajaan Barisan Nasional. Seolah-olah dengan adanya pengumuman itu, semua masalah akan selesai.

Nampaknya ada orang Malaysia sudah lupa dalam soal salah laku polis dan kes-kes kematian semasa siatan dan sewaktu dalam tahanan. Mereka sudah lupa bahawa cadangan-cadangan pokok yang dibuat oleh Tun Dzaiddin dan Tun Hanif dalam Laporan Suruhanjaya Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) lima tahun lalu masih belum dilaksanakan.

Mereka juga lupa mengenai cadangan-cadangan Suruhanjaya Diraja yang diketuai oleh Tan Sri Haidar mengenai kes pita video V.K. Lingam. Walaupun kandungan laporan itu sudah dimaklumkan kepada umum, dan secara “prima facie” memang ada kes salah laku oleh orang-orang ternama, tindakan susulan yang sepatutnya dilaksanakan oleh Peguam Negara tidak pun berlaku.

Kini satu lagi sejarah hitam berlaku dalam negara kita di mana Teoh menjadi mangsanya. Rakyat Malaysia sekali lagi mahu sa buah Suruhanjaya untuk menyiasat kematian Teoh. Nampaknya sekali lagi kita akan dipermainkan, dan sudah pasti kita akan terus kecewa dan hampa.

Perdana Menteri menyediakan dua badan untuk menyiasat kes tersebut. Oleh kerana rakyat mahukan Suruhanjaya Diraja, maka Najib menghadiahkan satu Suruhanjaya tapi ia hanya untuk menyiasat prosedur yang digunakan oleh pihak penyiasat, iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Yang menyiasat soal pokok yang lebih besar dan penting, iaitu mengenal punca sebab kematian Teoh yang memang semua orang ingin tahu; Najib menyerahkan tugas yang maha berat itu kepada seorang majistret, iaitu pegawai mahkamah yang paling rendah pangkat dan kedudukannya di bawah kawalan Peguam Negara.

READ MORE HERE



Comments
Loading...