Royalti minyak RM1 bilion untuk Kelantan sedang dikaji


(Bernama) – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, isu pembayaran royalti minyak kepada kerajaan negeri Kelantan yang membuat tuntutan RM1 bilion, masih di peringkat kajian.

Beliau berkata, kajian itu masih dijalankan oleh kerajaan pusat kerana berlaku pertindihan kawasan di daerah operasi pelantar minyak itu.

“Royalti minyak masih dalam kajian kerajaan pusat. Bila hasil kajian selesai saya akan menghantar wakil untuk menyampaikan (hasil kajian) kepada kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Kota Baharu, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai perbincangan antara beliau dengan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat yang berlangsung selama 20 minit apabila beliau tiba di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, dekat sini hari ini.

Selain Nik Aziz, Najib dalam rangka lawatan kerjanya sehari ke Kelantan hari ini turut disambut oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan Datuk Mustapa Mohamed.

Nik Abdul Aziz sebelum ini telah menghantarkan surat kepada Perdana Menteri mengenai tuntutan bayaran royalti sebanyak 5 peratus daripada hasil petroleum dan gas cecair yang dijalankan di perairan Kelantan yang berjumlah RM1 bilion.

Kerajaan negeri membuat tuntutan itu pada tahun ini setelah mengetahui melalui laporan dari Jabatan Perangkaan bahawa petroleum itu telah beroperasi sejak 2004 dan tuntutan royalti RM1 bilion itu dikira bermula daripada 2004 sehingga kini.

Najib berkata pada perjumpaan singkat dengan Nik Abdul Aziz itu, antara perkara lain yang dibangkitkan adalah cadangan membina pelabuhan di Tumpat, pembinaan jejantas dan sektor pelancongan.



Comments
Loading...