Umno tidak suka dilihat pro demokrasi


Umno sudah lama berpolitik. Namun parti tersebut tidak faham apa dia politik. Ini dapat kita lihat dari apa yang berlaku semasa perhimpunan rakyat menentang ISA pada 1 hb Ogos yang lalu.

Umno fikir dengan menggunakan polis untuk menyuraikan dengan ganas perhimpunan aman rakyat tersebut ia akan mendapat keuntungan politik. Umno fikir rakyat akan takut dan gentar dengan pihak polis justeru itu tidak akan berani hadir di perhimpunan aman tersebut.

Tidak keterlaluan kalau kita katakan himpunan tersebut dihadiri ramai rakyat kerana promosi besar-besaran dari pihak polis di media-media arus perdana. Apabila pihak polis memberi amaran supaya rakyat tidak memyertai perhimpunan aman tersebut, ia dikira satu promosi percuma dari pihak polis. Untung pihak penganjur kerana tidak perlu membayar sewa iklan kepada TV3, RTM dan Utusan.

Walau apa pun niat polis , apa yang jelas semakin banyak polis memberi amaran dan ancaman , semakin ramai pula kehadiran orang ramai dalam perhimpunan aman tersebut. Untuk itu kita patut berterima kasih pada pihak polis dan juga Umno !!

Selepas kejayaan perhimpunan Bersih sebelum Pilihan Raya Umum 2008 yang lalu, rakyat kini tidak lagi gentar dengan amaran polis. Sebab itu kita dapat lihat meskipun gerak kerja bagi menghimpun rakyat untuk menyertai perhimpunan menentang ISA tidak dilakukan dalam tempoh yang lama ( tidak seperti perhimpunan Bersih ) namun semua dapat melihat betapa ramai rakyat tanpa mengira agama , bangsa dan fahaman politik hadir bagi menunjukkan protes mereka ke atas ISA yang zalim tersebut.

Semasa saya hadir di Balai Polis Bukit Jalil pada malam tersebut bagi bertemu dengan mereka yang ditangkap datang seorang lelaki memaklumkan kepada saya bahawa hanya beliau sahaja yang tidak ditahan pada hari itu sedangkan isteri , empat orang anak perempuannya dan seorang menantu lelakinya semuanya ditangkap polis . Beliau tidak sedih sebaliknya berbangga dengam mereka semua.

Tindakan ganas pihak polis ke atas rakyat yang berhimpun tanpa senjata hanya menguntungkan Pakatan Rakyat ( PR ) dan merugikan Umno . PR bukan parti yang sempurna tetapi kebersamaan tiga parti yang menganggotai PR tersebut menentang ISA memberi harapan baru kepada rakyat tentang masa depan demokrasi dalam negara ini. Tindakan ganas pihak polis bermakna Umno sanggup melakukan apa sahaja dan menggunakan sesiapa sahaja bagi mengekalkan ISA yang zalim tersebut.

READ MORE HERE



Comments
Loading...