1Malaysia Dalam Kenangan


Art Harun

Saya seorang Melayu. Bapa dan ibu saya orang Melayu. Jua ibubapa mereka.

Saya dilahirkan di awal 60an di sebuah kampung terpencil di Kedah, yang rata-rata penduduknya dibelenggu kemiskinan dan kerumitan. Boleh dikatakan semua penduduk Melayu di kampung tersebut mengusahakan sawah bendang, samada yang memiliki tanah ataupun yang menyewa tanah.

Terdapat beberapa keluarga Cina – dalam ingatan saya di sekitar 10 hingga 15 keluarga – di kampung saya. Umumnya, penduduk Cina tinggal di sekitar pusat kampung, iaitu di kawasan yang dekat dengan jalan utama menuju ke Alor Setar. Dua atau tiga keluarga Cina sememangnya orang berada. Mereka menguasai pasaran padi dan beras. Malah mereka juga mempunyai kilang beras sendiri. Penjualan dan pembelian padi hampir dimonopoli oleh peniaga-peniaga Cina tersebut.

Yang lainnya menjalankan perniagaan runcit, tukang jahit, mekanik dan sebagainya. Pada masa tersebut, padi hanya dapat ditanam sekali setahun kerana kekurangan air dan saluran air. Jadi setiap tahun, sawah bendang hanya akan terbiar selama lebih kurang 6 bulan setiap tahun kerana ketiadaan air. Pada masa itu pesawah-pesawah tidak akan mempunyai sumber pendapatan.

Lalu apa yang terjadi ialah pesawah-pesawah terpaksa mengambil pinjaman dari kaum Cina, samada yang berniaga beras ataupun yang berniaga runcit. Hutang-hutang ini akan dilangsaikan apabila padi dituai dan dijual kepada mereka pada akhir musim menuai kelak. Itu lah yang berlaku saban musim dan saban tahun. Ianya bagai satu litaran hidup dikampung saya.

Namun saya tidak pernah bersemuka dengan apa-apa kemelut perkauman. Ianya bagai satu sistem ekonomi mikro yang diamalkan berabad lama. Yang sudah menjadi lumrah.

13hb May 1969 hanya saya ingat sebagai satu jangkamasa di mana sekolah saya ditutup. Yang saya ingat mengenai tarikh tersebut ialah terdapatnya kekacauan dan terdapat perintah berkurung. Lalu saya tidak dapat ke sekolah. Itulah satu-satunya ingatan saya mengenai peristiwa tersebut.

Pada awal 70an, ketika kerajaan Kedah diterajui oleh Datuk Syed Nahar, saya masih ingat beliau telah memulakan satu projek yang sungguh-sungguh membawa perubahan ekonomi kepada pesawah-pesawah di Kedah amnya dan di kampung saya terutamanya. Beliau sedar yang bekalan air adalah kunci penanaman padi. Beliau tidak mahu lagi sawah bendang terbiar kekontangan selama 6 bulan setiap tahun apabila datangnya musim kemarau.

Lalu kerajaan melancarkan satu usaha untuk mengorek "parit-parit gila" di serata Kedah. Umumnya sungai-sungai kecil digali dari sungai-sungai utama ataupun punca-punca air utama menuju ke sawah bendang. Dari sungai-sungai kecil ini, parit-parit kecil digali menuju ke tanah-tanah sawah untuk membawa bekalan air. Ini membolehkan bekalan air sampai ke tanah-tanah bendang setiap masa. Pada musim hujan, air akan ditakung di dalam sungai utama dan air itu akan dilepaskan ke dalam sungai-sungai kecil dan parit-parit gila tersebut pada musim kemarau.

Saya tidak pernah tahu kenapa parit-parit itu dipanggil "parit gila". Hanya saya dapat agak kenapa. Parit-parit itu tidak mempunyai apa-apa hala yang tertentu. Ianya mempunyai halatuju yang tidak bersistem. Malah kalau dilihat dari udara, parit-parit tersebut bagai jalan-jalan yang tidak berarah, macam sesuatu yang gila. Maka dipanggilah parit-parit tersebut "parit gila". Itulah kefahaman saya.

READ MORE HERE



Comments
Loading...