10 Minit ditahan


Puspawati Rosman, Merdeka Review

Saya dibawa masuk ke sebuah trak yang diletakkan di hadapan Masjid Jamek. Sepanjang perjalanan ke trak tersebut, saya tidak diberi sebab tangkapan oleh polis-polis tersebut. Nampak sangat mereka ini sebenarnya tidak tahu apa yang mereka sedang lakukan, tetapi hanya sekadar mengikut arahan dari langit (orang atas).

Beberapa orang peguam sukarela yang berada di tempat kejadian cuba berdiplomasi dengan polis, diketuai oleh Saha.  Saya yang tidak berpuas hati dengan penangkapan, mula membuat bising di dalam trak.

Di dalam trak tersebut, terdapat dua orang lagi tahanan perempuan.  Tahanan lelaki ada lebih kurang 10 orang.  Mereka hanya diam melihat "drama" yang berlaku di antara saya dan polis-polis di hadapan trak.  Saya sempat berpaling ke arah mereka dan berkata, "Sekejap lagi saya berikan nasihat guaman".

Saya meminta supaya gari saya ditanggalkan, kerana pergelangan tangan saya rasa sakit.  Tapi permintaan saya tidak diendahkan.  Lalu, saya cuba leraikan sendiri dan mungkin kerana saiz pergelangan tangan saya yang kecil, percubaan saya berjaya.

Mempersoalkan kebiadapan polis

Saya mula mempersoalkan cara tangkapan dan sikap polis-polis yang kurang ajar itu.  Mereka cuba mempertahankan tindakan mereka tapi saya tahu yang mereka sendiri sedar bahawa tindakan mereka itu tidak berasas.  Saha mula menjelaskan sekali lagi isi kandungan risalah merah.  Pada waktu ini, barulah salah seorang anggota polis itu membuka risalah tersebut dan membacanya.

Ketika itu, saya mula sedar bahawa kebanyakan tangkapan yang dibuat oleh polis adalah tanpa usul periksa.  Contohnya ketika penangkapan saya, polis-polis tersebut tidak mengendahkan penjelasan saya dan tidak cuba membaca risalah tersebut.  Hanya selepas tangkapan dibuat dan selepas didesak oleh Saha, mereka mula membacanya.

Saya telah dibebaskan daripada tahanan kira-kira 10 minit selepas itu.

Perhimpunan 2R : Double Standard

Jangka waktu yang singkat itu meninggalkan kesan yang mendalam terhadap diriku. Rasa sakit hati dengan cara pihak polis menangani hari perhimpunan tersebut yang sangat mengecewakan.  Apa sudah jadi dengan hak berhimpun secara aman yang kononnya dilindungi di bawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan?

Kira-kira seminggu sebelum kejadian, sebenarnya terdapat satu lagi perhimpunan besar-besaran yang diadakan di tempat yang sama. Perhimpunan itu dinamakan 2R (kempen Ragut dan Rogol) yang dianjurkan oleh kerajaan.  Jalan-jalan ditutup seawal jam 8 pagi. Beribu-ribu peserta meniup wisel dan melintasi jalan raya dengan baju merah jambu dan menyebabkan kesesakan lalu lintas dari empat arah bertentangan menuju ke Dataran Merdeka.

Saya tidak kisah dengan tujuan dan matlamat perhimpunan itu.  Apa yang mahu saya tekankan di sini ialah, sekiranya pihak polis berjaya mengawal dengan baik perhimpunan 2R tersebut, mengapa tidak lakukan perkara yang sama untuk perhimpunan Mansuhkan ISA?  Kerana ia bukan dianjurkan oleh kerajaan persekutuankah?  Mengapa perlu ada "double standard" dalam menangani isu keselamatan dan keamanan orang awam?  Dan, apabila kami sebagai peguam sukarela cuba menghulurkan bantuan guaman akibat kerja-kerja polis yang tidak mengikut prosedur, kami juga ditahan?

Bayangkan, segala-gala yang tertulis di atas adalah luahan hati saya yang hanya ditahan selama 10 minit.

101 kisah semasa ditahan

Bayangkan, orang-orang yang ditahan sehari semalam di dalam lokap tanpa mengetahui hak-hak mereka, dan ada yang dipukul.

Bayangkan, 11 orang anak guam wanita kami yang ditangkap pada waktu tengahari dan tidak diberi makan sehingga pukul 11 malam, mengadu sakit kepala dan berpenyakit asma, tidak diberikan ubat yang diminta walaupun peguam sudah membelikan dan memberikannya kepada polis bertugas.  Mereka juga diherdik dan dicaci oleh polis-polis yang memanggil mereka bodoh, dungu dan sebagainya.

Bayangkan, tiga orang kanak-kanak berusia 13, 16 dan 17 tahun yang ditangkap pada siang hari, tidur di dalam lokap, disuruh pakai baju lokap, dan tidak diberi makan sehinggalah mereka diberi akses untuk berjumpa dengan peguam pada pukul 10 malam dan makanan dibelikan oleh peguam-peguam mereka.  Yang lebih mengejutkan, ibubapa mereka dan pegawai dari Jabatan Kebajikan tidak dimaklumkan mengenai penangkapan mereka sehingga berlaku kekecohan apabila seorang bapa panik selepas beliau diberitahu anaknya sudah tidak lagi berada di dalam balai polis, tetapi dibawa ke "tempat lain".

Akhirnya bapa kanak-kanak tersebut membuat laporan polis atas "kehilangan" anaknya, dan selepas melihat bapa kanak-kanak tersebut membuat laporan, barulah polis-polis bertugas bersungguh-sungguh membantu lelaki itu mencari anaknya.  Rupa-rupanya, kanak-kanak tersebut telah dibawa ke balai polis yang lain.

Bayangkan, seorang wanita berusia hampir 50 tahun yang mengidap sakit jantung tidak dibenarkan dibawa ke hospital, tetapi polis berkeras untuk mereman wanita tersebut bagi "siasatan lanjut".  Beliau juga tidak diberikan ubat yang sepatutnya diberikan.

Sekarang, berhentilah bayang-membayangkan ini. Anda sebenarnya boleh mengalaminya sendiri, kerana realitinya di Malaysia, tidak ada yang mustahil. (Bahagian kedua, tamat)

Bahagian Pertama : Risalah merah? Tangkap!

 *Puspawati Rosman ialah Ketua Projek Jawatankuasa Kesedaran Undang-undang Pusat Bantuan Guaman (PBG) yang ditangkap pada 1 Ogos 2009.



Comments
Loading...