Tahanan ISA alat mainan KDN


Tahanan ISA 7 tahun boleh dipindahkan ke mana sahaja tanpa perlu memberitahu ahli keluarga mereka.  Polis bebas memperlakukan apa saja yang tergerak di hati mereka terhadap tahanan tersebut.

Norlaila Othman, Merdeka Review

Akhirnya aku teringat nombor telefon seorang Polis Cawangan Khas (SB) yang masih aku simpan di telefon bimbit.  Aku hubungi SB yang bernama "S" itu. Inilah dialognya.

Aku: "S", Mat Sah ada di PRC ke?

SB "S":  Ye kak.  Dia dibawa ke sini sejak Ahad lepas dan akan dihantar semula ke Taiping pada hari Sabtu ni.

Aku: Boleh tak kami nak jumpa dia di PRC?

SB "S": Maaf kak, tak boleh. Program di sini padat sangat. Kalau nak jumpa dia, akak pergilah ke Taiping hari Ahad atau minggu depan.

Aku: Tak kanlah nak jumpa kejap pun tak boleh?

SB "S": Maaf kak.  Tak sempat untuk pertemuan keluarga. Akak jumpa di Kemta (Kamunting) saja nanti.

Sekali lagi aku rasa amat-amat dianiaya oleh polis, tak kira samada yang beruniform atau yang berpakaian biasa.  Semua jawapan berselindungkan kata-kata "Kami hanya menurut perintah".   Malang.  Memang amat malang pada sesiapa saja yang dipilih untuk di labelkan dan dijadikan mangsa ISA.

Tahanan ISA 7 tahun:
"Alat mainan" KDN dan Menteri

Tahanan ISA 7 tahun boleh dipindahkan ke mana sahaja tanpa perlu memberitahu ahli keluarga mereka.  Polis bebas memperlakukan apa saja yang tergerak di hati mereka terhadap tahanan tersebut.

Inilah hakikat nasib tahanan ISA 7 tahun.  Mereka diperlakukan lebih teruk dari banduan yang telah terbukti kesalahan mereka, dan dijatuhi hukuman oleh hakim di mahkamah.  Mereka tiada nilai sebagai manusia.  Mereka seolah-olah suratkhabar lama yang boleh diangkut dari satu tempat ketempat lain, pada bila-bila masa saja mengikut selera KDN.  Mereka boleh dicampak, dipijak dan ditenyeh mengikut suka Menteri Dalam Negeri.

Mereka akan bernilai pada KDN untuk dijadikan bahan cercaan dan fitnah jika berlaku sesuatu rusuhan awam atau letupan di negara lain.  Mereka juga bernilai jika ada seorang menteri yang baru dilantik menjadi Menteri Dalam Negeri atau jadi PM!

Sesi pemulihan = perbicaraan di mahkamah?

Entah berapa puluh kali Mat Sah telah dibawa ke PRC untuk sesi "brain wash" yang kononnya diadakan untuk memulihkan perangai tahanan…Ini bukanlah kali pertama Mat Sah dilarikan dari Kem Kamunting untuk sesi siasatan atau "brain wash” atau pemulihan.

Beliau dituduh sebagai Ahli Jemaah Islamiyyah (JI) yang didakwa mengancam keselamatan negara tetapi tidak pernah dibicarakan di mahkamah terbuka.  Tuduhan yang begitu berat dilemparkan oleh Menteri Dalam Negeri, hanya perlu pada pemulihan saja?  Aneh bukan?

KDN dibantu oleh beberapa institusi kerajaan seperti JAKIM, ILIM bersusah payah mengadakan sesi pemulihan itu kepada tahanan ISA seperti Mat Sah?  Kenapa KDN sanggup bersusah payah mengambil masa tujuh tahun lebih untuk memaksa Mat Sah mengaku sesuatu perkara yang dia tidak lakukan?  Bagaimana institusi agama seperti JAKIM dan ILIM boleh bersekongkol dengan KDN menghidupkan akta tahan tanpa bicara ini?

Bukankah ada jalan yang lebih mudah untuk menyelesaikan masalah ini?  Kenapa tidak bicarakan saja dia di mahkamah?  Bukankah polis dan KDN sering berkata "mereka punya bukti lengkap" untuk terus menahan mangsa ISA itu?

Penguasa ISA sengaja menyusahkan Suhaib

Anak saya Suhaib (gambar kanan) terlalu ingin bertemu dengan bapanya.  Beliau berada di PRC, Kuala Lumpur yang jaraknya cuma 15 minit memandu dari rumah kami di taman Keramat.  Suhaib hanya perlukan satu jam untuk bersama bapanya, adakah permintaan itu terlalu berat untuk ditunaikan?

Kenapa aku dan Suhaib terpaksa menunggu bapanya habis sesi "brain wash" itu, menunggu beliau dipulangkan ke Kemta, Kamunting dan hanya dibenarkan melawatnya di sana?  Bukankah ini satu lagi diskriminasi terhadap aku dan Suhaib? (Bahagian kedua…tamat)

Bahagian pertama: Kami tetap dianiaya

*Norlaila Othman ialah Pengerusi Pusat Sokongan Keluarga Gerakan Mansuh ISA (GMI), isteri kepada Mat Sah Satray, tahanan ISA sejak tahun 2002.



Comments
Loading...