Baca label dulu?


By Shanon Shah (The Nut Graph)

BILA saya berumur tujuh tahun, ibu kepada rakan sekelas saya amat terhibur mendengar saya berceloteh dalam bahasa Hokkien dengan anaknya. "Kamu ini orang (bangsa) apa?" dia bertanya dalam bahasa Hokkien. "Saya ini orang putih (Inggeris)," saya menjawab. Dia tertawa terbahak-bahak.

Tapi saya serius! Benar, saya boleh berbahasa Malaysia dan Hokkien, tetapi saya bertutur dengan ibu bapa dan adik-beradik saya dalam bahasa Inggeris. Tambahan pula, saya ini kacukan — banyaklah campur-aduk ini dan itu. Jadi, mengikut logik seorang kanak-kanak Darjah Satu, tidaklah tepat saya menjawab yang saya ini "Melayu" atau "Cina" atau "India" atau "Pakistan". Keluarga saya bertutur bahasa Inggeris, jadi bukankah kami berbangsa Inggeris?

Bila umur saya meningkat, barulah saya faham — saya kena tandakan ruangan "Melayu" di borang rasmi. Jadi saya menjadi orang "Melayu". Tapi bagi saya, label "Melayu" sebenarnya satu misteri yang amat menarik. Malah, label "Cina" dan "India" juga amatlah menarik. Bila saya berkenalan dengan siapa-siapa, saya pasti akan bertanya, "Awak ini orang apa sebenarnya?"

Oleh kerana saya bertanya dengan penuh minat dan hormat, para kenalan saya ini jarang tersinggung. Yang "Melayu" kadang-kadang akan mengaku, "Belah bapa keturunan Jawa, belah emak keturunan Minang." Yang "India" kadang-kadang menjelaskan, "Bapa saya orang Tamil beragama Kristian arus Protestan, ibu saya orang Malayalee beragama Katolik." Yang "lain-lain" pula sangatlah menarik: "Belah bapa Serani Portugis, belah emak Cina."

Jadi saya amatlah tertarik dengan saranan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir, agar ruangan "bangsa/keturunan" digugurkan dalam borang rasmi. Kecuali untuk perkara yang berkaitan dengan hak istimewa bumiputera. Pengecualian Mukhriz ini sudah dikupas dengan teliti. Tapi saya ingin pula menumpukan perhatian kepada cadangannya secara keseluruhan.

Mukhriz membuat saranan ini pada 9 Ogos 2009. Pada 12 Ogos pula, Zainuri Misfar telah bertanya, Benarkah filem Yasmin karya tanah air paling hebat?, dalam ruangan Fragmennya dalam akhbar Berita Harian. Saya rasa soalan Zainuri memang wajar ditanya, tetapi saya agak terkejut dengan hujahnya menyoal "kualiti" karya arwah Yasmin Ahmad.

Zainuri menulis, "Misalnya, babak gadis Melayu berbaju kurung berdiri di hadapan daging babi salai di sebuah restoran Cina dalam filem Sepet, boleh menimbulkan tanda tanya kepada penonton kanak-kanak." Orang Melayu berdiri depan restoran Cina pun boleh menimbulkan tanda tanya? Tanda tanya tentang apa? Barangkali tentang hakikat bahawa kita di Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama? Bukankah itu saranan Mukhriz?

Read more at: http://www.thenutgraph.com/baca-label-dulu



Comments
Loading...