ISA: Semakin kuat semakin yakin


(The Malaysian Insider) Nahdiah Ariffin, 28, adalah antara yang ditahan pada hari demonstrasi Mansuhkan ISA, 1 Ogos lalu.

Sewaktu ditahan, Nahdiah tidak keseorangan. Bersama ibu, Hajah Hamidah Karim, 52, dan adik-adik Nahdiah; Nussaibah, 26; Soddiqa, 24;  Mohd Hafiz Abdul Hamid, 24 (suami Soddiqa); Khadijah, 22, dan anak angkatnya Juwairiya Zulkifli, 24, turut “terbabit” dengan penangkapan itu. Ikuti pengalaman Nahdiah sepanjang bergelar “tahanan” seperti diceritakan kepada penulis.

URUSAN BESAR

Ibu seperti biasa dengan penuh semangat mengajak kami untuk menyertai demonstrasi Mansuhkan ISA yang sudah dirancang GMI itu. Tegas ibu, jika perkara itu boleh berlaku pada orang lain, tidak mustahil berlaku pada keluarga sendiri.

Siapa yang tidak tahu tentang ISA. Akta kejam yang boleh menahan sesiapa saja tanpa dibicarakan. Dalam dekad moden ini, Mat Sah Satray menjadi ISA tahanan paling lama.

Kami menjalin hubungan yang rapat dengan isteri Mat Sah, Puan Norlaila Othman. Begitu juga dengan aktivis anti ISA seperti Nashita Md Noor dan Aiman Athirah. Kerana itulah timbul rasa kebersamaan yang tinggi dalam jiwa dan mendalam di sanubari.

Ibu seperti biasa, memberikan perhatian mendalam terhadap apa-apa sahaja isu semasa yang berlaku di seputar diri. Meskipun beliau sendiri memerlukan perhatian kepada kerjayanya sebagai pengasas dan penggerak komuniti tempat beliau tinggal di Kedah dan kini di ibu kota.

Untuk rekod, ibu seorang pengusaha tadika yang memiliki 10 sekolah di Sungai Petani, Kedah.

Anak-anaknya terdiri daripada saya sendiri, ahli farmasi dan adik-adik saya penyelia taska, jurutera, aktivis NGO dan pelajar IPTA serta penyelidik parti; semuanya di Lembah Kelang.

Saya, ibu dan adik-adik tidak mempunyai apa-apa kepentingan dalam GMI waima mana-mana parti politik sekalipun. Kami semua sudah bekerja dan memiliki keluarga sendiri. Kami boleh tinggal selesa di kediaman masing-masing. Namun jiwa tidak betah berbuat demikian jika di luar sana ada insan lain yang menderita.

Kami merasakan inilah kemuncak kepada apa yang dipelajari dan amalkan selama ini; semuanya itu perlu dihayati di peringkat yang lebih tinggi dengan melihat alam persekitaran yang memerlukan dukungan melebihi sokongan dari jauh sahaja.

Kecuali Khadijah dan Juwairiya, yang lain semuanya mempunyai anak-anak yang masih kecil antara lima bulan hingga empat tahun. Lantaran urusan besar ini, dua anak saya, seorang anak Nussaibah dan seorang anak Soddiqa dititipkan di rumah saudara suami saya, Urwah Saari.

 

Norlaila sedang berkata sesuatu tentang hak seorang rakyat kepada anggota polis wanita.

BILA EMOSI MULA MENGUASAI

Saya dan keluarga mula terus bergerak berhampiran Kompleks Daya Bumi. Tiba-tiba datang seorang anggota berpakaian seragam wanita. Dari kata-katanya, beliau hendak menahan adik ipar saya, Mohd Hafiz. Kami membantah.

“Apa salah dia, kenapa dia mesti ditahan,” saya menyoal. Ibu mula masuk campur. Berlaku sedikit pertengkaran.

Bermula dari itu, mereka berkeras. Kemudian semakin ramai anggota berbaju biru tua mengelilingi kami.

Hafiz dikasari. Ibu ke hadapan. Entah bagaimana berlaku sedikit pergelutan. Ibu tidak mahu mengalah. Mereka jadi emosi.

“Kamu menghalang tugas-tugas polis,” salah seorang bersuara dengan kasar.

Akhirnya Hafiz dan ibu ditahan. Dipaksa naik ke dalam kenderaan besar kepunyaan mereka.

Melihat dua anggota keluarga kami “disumbat” ke dalam perut kenderaan kaku itu, kami tidak berlengah. Semua sepakat untuk sama-sama ditahan.

“Apa nak jadi, biarlah kita sama-sama hadapi,” itu tekad kami.

Kami diperap di dalam kenderaan itu selama satu jam. Lama juga rasanya. Di Daya Bumi kemudian satu jam lagi di Balai Polis Dang Wangi.

Saya tidak duduk diam. Sebaliknya sempat mengambil gambar “senario indah” di dalam trak sebagai bukti pengalaman paling manis ini.

“Kuatkan pegangan dan keyakinan kami”

Saya bukan di perut pesawat terbang. Kenderaan yang saya naiki ini tiada kerusi empuk siap penyandar. Tiada hawa dingin penyejuk badan. Apa yang tersedia cuma bangku besi penggalas punggung dan pintu berjaring menghalang penumpang “terjun”.

Dalam sejarah hidup, inilah pertama kali saya “diberi peluang” menaiki trak polis berdinding, berlantai dan berbumbung besi ini.

Saya mengangkat kedua-dua belah tangan ke paras dada. Tapak tangan saya buka. Menadah doa. Bersungguh-sungguh.

Saya memohon pada-Nya moga Dia memelihara keselamatan demonstran Mansuhkan ISA baik yang sudah ditahan atau masih ada di jalanan. Moga Dia kuatkan pegangan dan keyakinan kami semua…

Takut? Sekelumit pun tidak!

Mungkin kerana saya tidak keseorangan, berteman ibu, abang ipar juga adik-beradik yang lain, lalu perasaan takut tidak berani hadir. Bukan saya seorang, malah kami tujuh sekeluarga sama. Jiwa kami stabil.

Mana hala tuju trak ini? Entahlah… sesekali terasa bagai sedang dibawa bersiar-siar. Pusing-pusing ibu kota.

Kami sungguh tidak tahu ke mana kami akan dibawa. Walau kami ramai, umpama berada di dalam bas rombongan untuk ke satu destinasi, namun tidak seorang pun daripada kami tahu ke mana kenderaan ini menuju.

Saya berdoa lagi. Memohon Tuhan memudahkan segala apa yang kami sedang dan bakal tempuh sepanjang ditahan.

Apa pun keyakinan saya kuat. Kami sekeluarga tidak bersalah. Kami ditangkap pada jam 1.30 petang. Sedangkan demonstrasi yang kononnya dikatakan haram itu bermula jam dua petang.

Read more at: ISA: Semakin kuat semakin yakin



Comments
Loading...