Islam kejam atau Islam rahmah?


Oleh Norhayati Kaprawi, The Nut Graph

SEBAGAI seorang Islam, saya tertanya-tanya wajah Islam bagaimanakah yang Malaysia mahukan? Negara Islam, Islam madani, Islam hadari, atau Islam  "hududi"?

Apa pun jenamanya, tentu yang kita mahukan adalah Islam yang adil, rahmah, berihsan, penyayang, mesra kepada orang perempuan, prihatin terhadap orang yang kurang bernasib baik, dan Islam yang sentiasa bersangka baik pada manusia.

Akan tetapi, cara mahkamah syariah di Malaysia menangani kes Kartika Sari Dewi Shukarnor tidak mencerminkan Islam yang kita impikan itu.

Bertambah malang lagi apabila ada orang Islam dan pemimpin-pemimpin yang mengaku memperjuangkan Islam, bersorak gembira dengan hukuman keras yang dijatuhkan terhadap Kartika.

Selama ini, ulama dan pemimpin Islam begitu petah dan rancak sekali bila berbicara tentang keadilan dalam Islam. Namun, apabila timbul masalah sebenar di dalam masyarakat, nampaknya ramai yang kelam kabut dan teraba-raba mencari sinar keadilan itu. Kelihatan sukar sekali mereka menterjemahkan konsep adil itu dalam menangani realiti kehidupan masyarakat.

Sesungguhnya, ini adalah kesalahan pertama Kartika dan beliau telah pun mengaku bersalah. Maka, mengapa dia dikenakan hukuman maksima?

Adakah lebih berat sesuatu hukuman itu, maka semakin Islamlah ia?

Perbandingan dan persoalan

Bandingkan kesalahan Kartika yang tidak memudaratkan sesiapa pun dengan kesalahan mat-mat rempit dan peragut beg yang menjejaskan keselamatan orang ramai dan telah menyebabkan kematian. Dan juga dosa Kartika dengan dosa bapa-bapa tidak bertanggungjawab yang tidak membayar nafkah sara hidup anak-anaknya.

Selepas hukuman dijatuhkan, Kartika terus membayar denda RM5,000 yang dikenakan tanpa banyak soal. Justeru, adakah adil, berhikmah dan berihsan apabila mahkamah kemudiannya menambah lagi hukuman penjara tujuh hari di penjara Kajang?

Adakah orang yang selama ini mengaku memperjuangkan agama Allah dan menegakkan negara Islam mahukan Islam yang sadis, keras dan tidak berihsan?

READ MORE HERE:



Comments
Loading...