Siapa yang Layak jadi Pengkhianat?


Oleh: HAFIZ JAMAIL

MENGIKUT hukum Islam, mereka yang menjual kerakyatan dan tanah airnya harus dihukum pancung atau digantung sampai mati atau disula, sesuai atau mengikut undang-undang di sebuah Negara atau negeri yang mengamalkan ajaran Islam.

Mujur Malaysia dan Sabah hanya meletakkan Islam sebagai agama rasmi di dalam Perlembagaan dan bukannya mengamalkan hukum hudud atau hukum Al-Quran. Jika tidak beliau dan seluruh ‘pengkhianat’ di Sabah sudah lama mati  kerana mengkhianat kepada negeri Sabah dan Malaysia amnya.

Demikianlah pandangan mantan Ketua Daerah Sandakan, OKK Hassnar M.P Ebrahim ketika membicarakan soal ‘pengkianat’ yang ditujukan khusus Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya kini insaf kerana telah dipergunakan oleh pemimpin Sabah seperti Datuk Harris Salleh dan pemimpin Malaysia seperti Allahyarham Datuk Seri Megat Junid Megat Ayub untuk menderhaka kepada rakyat Sabah semata-mata terpengaruh dengan dakyah palsu kononnya mahu meramaikan umat Islam di Sabah sehingga terlibat merekrut pendatang asing tanpa izin yang beragama Islam sebagai Warganegara Malaysia. Saya tidak sedar telah diperbodohkan untuk memenuhi cita-cita politik pemimpin Berjaya dan UMNO yang mahu merampas Sabah melalui kerakyatan songsang ini,” ujar OKK Hassnar.

Namun setelah diperdaya dan ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Tahanan Kediaman Terhad, barulah OKK Hassnar sedar bahawa agenda subversif Kerajaan Berjaya yang dilestari dengan niat UMNO untuk masuk ke Sabah dan menumbangkan USNO adalah pengkhianatan paling besar pemimpin Sabah terhadap rakyatnya.

OKK Hassnar menegaskan, tidak cukup dengan pengeluaran dokumen pengenalan diri Malaysia seperti surat lahir daftar lewat dan kad pengenalan melalui jalan songsang, para pemimpin akar umbi di Sabah seperti Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri dengan kerjasama Ketua kampung telah mencontohi modus operandi kad pengenalan projek dengan mengeluarkan Sijil Anak Negeri kepada mereka yang tidak layak menerimanya terutama kaum Tiong Hua sehingga menjadi ancaman besar kepada Kerajaan Berjaya ketika itu.

“Akibatnya pada 1982, kerajaan Parti Berjaya telah mengarahkan pemberhentian pengeluaran Sijil Anak Negeri kerana didapati ramai daripada kalangan Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri yang masih Pro- Usno telah menyalahgunakan kedudukan mereka dengan sewenang-wenangnya tanpa mengikut prosedur mahkamah,” ujar OKK Hassnar yang mempunyai bukti kukuh pengkhianatan pemimpin akar umbi kepada rakyat Sabah.

Tegas OKK Hassnar, Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri ini telah memanipulasi kelemahan pentadbiran Mahkamah Anak Negeri yang pegawainya adalah lantikan politik dan tidak mempunyai pengalaman pentadbiran dan tidak tahu undang-undang (semua enakmen ketika itu dalam bahasa Inggeris) telah mengeluarkan Sijil Anak Negeri kepada mereka yang tidak berkelayakan tetapi mempunyai wang dan kedudukan dalam masyarakat seperti Lembaga Pengarah dan pemilik saham Kwantas Corporation Sdn.Bhd, Fortuna Leong Sdn.Bhd, Nak Hotel dan sebagainya.

“Kesan Sijil Anak Negeri yang terus dikeluarkan pada 1982 sehingga 1984 tetapi tarikhnya di kebelakangkan pada 1981 hanya dirasai sekarang iaitu apabila ‘Mafia’ dari Hong Kong, Filipina, China, Taiwan dan Singapura telah memiliki dua pertiga tanah yang hanya dikhususkan untuk Anak Negeri Sabah iaitu tanah bergeran N.T (Native Title),” keluh OKK Hassnar yang sedih kerana Anak Negeri Sabah telah menjadi pelarian di negeri sendiri kerana tidak mempunyai tanah.

Tambah mendukacitakan OKK Hassnar, Kerajaan Barisan Nasional Sabah hanya membiarkan ‘Isu Pengkhianatan’ ini berlarutan dan dimantapkan melalui jentera kerajaan seperti Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Mahkamah Anak Negeri, Ketua Kampung dan sebagainya yang mengiktiraf ‘Anak Negeri Palsu’ ini terus memiliki dan mewariskan tanah yang mereka tidak layak kepada generasi seterusnya.

“Walaupun kerajaan mempunyai alat seranta dan mengawal media arus perdana, namun isu Anak Negeri kehilangan tanah adat dan tanah NT mereka kepada bukan bumiputera seolah-olah langsung tidak diambil peduli kerana tidak pernah disebarkan kepada rakyat Sabah,” kata OKK Hassnar yang membidas menteri yang menjaga perihal tanah di Sabah kerana tidak berhati perut dan hanya memikirkan kesenangan diri sendiri.

Read more at: http://www.sabahkini.net/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=1979:siapa-yang-layak-jadi-pengkhianat&catid=68:anak-negeri&Itemid=74



Comments
Loading...