Kemarahan penduduk Seksyen 23 meledak
(Sinaran Harian) SHAH ALAM: Jawatankuasa Bertindak Pembantahan pembinaan Kuil Seksyen 23 menegaskan bahawa Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad bertanggungjawab di atas semua tindakan agresif penduduk yang membantah pembinaan Kuil Sri Maha Mariamman di Seksyen 23.
Pengerusinya, Ahmad Mahayuddin Manaf berkata, tindakan Khalid dan Kerajaan Negeri yang selama ini mengabaikan hak dan kepentingan orang Islam mendorong penduduk mengadakan bantahan bagi memperjuangkan hak mereka.
“Khalid bertanggungjawab mengajar penduduk menjadi biadab kerana meminggirkan kebajikan dan hak masyarakat di Seksyen 23.
“Dari Mei lalu hingga kini, tidak ada sebarang toleransi dan sensitiviti yang ditunjukkan oleh pemimpin Kerajaan Negeri bagi menjamin hak serta agama Islam terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai perarakan penduduk Seksyen 23 dari Masjid Negeri menuju ke Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah bagi membantah pembinaan Kuil Sri Maha Mariamman selepas selesai solat Jumaat, di sini semalam.
Selain itu Mahayuddin turut mendesak agar Kerajaan Negeri mengemukakan pelan lokasi pembinaan kuil yang baru seperti yang dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr A Xavier Jayakumar.
“Di mana kedudukan lokasi baru untuk pembinaan kuil berkenaan? Mana pelan sebenar lokasi berkenaan? Mereka hanya menipu dan mahu mengaburi mata penduduk.
“Setahu saya, lokasi baru setelah dianjak 300 meter dari tapak asal adalah tapak kilang dan terdapat kilang yang sudah didirikan di situ, jadi lokasi baru seperti yang dinyatakan hanyalah pembohongan semata-mata,” katanya.
Rabu lalu, Xavier mengumumkan Kerajaan Negeri akan memindahkan pembinaan kuil berkenaan 300 meter dari tapak asalnya berikutan bantahan penduduk di sekitar kawasan berkenaan.
Sementara itu, Timbalan Jawatankuasa Bertindak Pembantahan pembinaan Kuil Seksyen 23, Ibrahim Sabri menegaskan penduduk menggesa agar pembinaan Kuil Sri Mariamman itu dipindahkan ke Seksyen 22 seperti yang dirancang.
“Walau apa pun yang berlaku kami tidak akan berganjak dari pendirian dan tetap mahukan pembinaan kuil berkenaan dipindahkan ke Seksyen 22.
“Mengapa pembinaan kuil berkenaan tidak dijalankan di Seksyen 22 seperti yang dirancang sedangkan tapak pembinaannya sudah pun disediakan di situ,” katanya.
Katanya, sebelum ini penduduk perumahan di sekitar Seksyen 23 telah beberapa kali menghantar memorandum dan surat bantahan kepada pihak yang berkenaan namun tidak dilayan dan tiada sebarang tindakan diambil.
“Sudah beberapa kali memorandum bantahan pembinaan kuil itu dihantar namun suara hati penduduk tidak dilayan,” katanya.
Dalam pada itu, wakil Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Mohd Jumri mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ahli Dewan Negeri (ADUN) yang berkenaan agar bertemu dengan penduduk perumahan Seksyen 23 untuk berbincang mengenai ini.
“Sebelum ini pun telah ada perjumpaan penduduk bersama Khalid dan Rodziah Ismail (ADUN Batu Tiga) namun apa yang dapat kami dengar hanyalah mengenai rancangan pembinaan kuil berkenaan,” katanya.
Perarakan yang disertai kira-kira seramai 250 penduduk berkenaan turut membawa kepala lembu yang telah disembelih dan ditinggalkan di luar Bangunan SSAAS selepas selesai demonstrasi bantahan sebagai cenderahati kepada Khalid.
Bagaimanapun menurut Mahayuddin, kepala lembu berkenaan dibawa oleh individu yang marah sebagai simbolik kepada tindakan Khalid, Rodziah dan Kerajaan Negeri yang dianggap seperti 'dicucuk hidung' apabila meluluskan pembinaan kuil di kawasan perumahan majoriti penduduk beragama Islam.
Kerajaan Negeri akan teliti cadangan penduduk
Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan cadangan penduduk perumahan Seksyen 23 berhubung bantahan mereka terhadap pembinaan Kuil Sri Mariamman di kawasan itu.
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, Kerajaan Negeri akan menilai dan mempertimbangkan hujah yang dibentangkan oleh penduduk sekiranya alasan yang diberi adalah munasabah serta boleh diterima.
“Kita akan menilai pandangan yang diberikan dan sekiranya hujah yang diberi munasabah, kita akan pertimbangkan cadangan mereka,” katanya.
Katanya, Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan bersama penduduk Seksyen 23 pada 7 September ini bertempat di Majlis Bandaraya Shah Alam untuk mendengar luahan masyarakat setempat dan mencari jalan penyelesaian masalah pembinaan kuil berkenaan.
“Sebelum ini penduduk telah dimaklumkan mengenai perbincangan yang akan diadakan pada 7 September ini, jadi mengapa perlu mengadakan bantahan dan perarakan ini?
“Penduduk diminta bertenang dan menunggu sehingga tarikh perbincangan tersebut untuk mencari kesepakatan di dalam hal ini,” katanya.
Selain itu, beliau turut berpendapat bahawa perarakan penduduk dari Masjid Negeri menuju ke Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah di sini semalam didalangi oleh pihak UMNO.
“Peranan pihak polis yang langsung tidak mengganggu perjalanan bantahan berkenaan menunjukkan bahawa sememangnya ia didalangi oleh UMNO,” katanya.