Kepala lembu: Penerusan agenda Utusan Malaysia


(The Malaysian Insider) Setelah sekian lama Utusan Malaysia mengasak isu perkauman, akhirnya lahirlah apa yang berlaku di Shah Alam selepas sembahyang Jumaat semalam, apabila sekumpulan umat Melayu membawa kepala lembu ke pejabat SUK Selangor.

Anggota Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkifli Ahmad menyifatkan apa yang berlaku itu adalah penerusan dari siri-siri laporan dan tulisan dari akhbar berkenaan yang bersifat berkauman.

Bagi beliau, apa yang berlaku juga akibat dari pengaruh akhbar Umno itu terhadap pembaca mereka khasnya di kalangan ahli Umno yang memiliki akhbar berkenaan.

Dr Dzul mengulas tindakan sekumpulan yang memperkenalkan diri mereka sebagai penduduk Seksyen 23 Shah Alam yang membantah keputusan kerajaan negeri memindahkan sebuah kuil Hindu di Seksyen 19 ke Seksyen 23, kawasan kejiranan mereka.

Mereka telah membuat demostrasi dengan membawa kepala lembu yang masih berdarah dan diletak di depan pintu pagar pejabat Sultan Salahudin yang menempatkan pejabat SUK dan MB Selangor.

Tindakan mereka ini dikira satu penghinaan kepada orang Hindu yang menjadikan lembu sebagai tuhan mereka.

Seorang pembaca The Malaysian Insider menyifatkan langkah ini bertentangan dengan Islam kerana Islam melarang mana-mana umatnya menghina tuhan-tuhan orang lain kerana dibimbangi mereka akan membalasnya dengan menghina tuhan orang Islam iaitu Allah.

Bagi Dr Dzul yang juga AJK PAS Pusat, mereka hanya menyambung apa yang telah disiar dan ditulis dalam akhbar mereka sahaja.

Sejak kebelakangan ini, akhbar berkenaan banyak menyiarkan tulisan yang disifatkan sebagai bersifat perkauman dan dilihat cuba membangkitkan semangat Melayu.

Antaranya tulisan bertajuk "Sedarlahh wahai Melayu" dan sebagainya. Penulis akhbar itu membayangkan seolah-olah Melayu dalam tertekan. Padahal, bagi kebanyakan pemimpin Pakatan, bukan Melayu yang tertekan tetapi Umno.

Read more at: Kepala lembu: Penerusan agenda Utusan Malaysia



Comments
Loading...