Pengemis Kemerdekaan Yang Tercicir?


Oleh : MUTALIB M.D

NOTA PENTING: Jika Anak Negeri Sabah ini berkata benar, terimalah walaupun pahit. Kenyataan yang disiarkan di sini bukan untuk menjatuhkan maruah atau memalukan sesiapa. Jika terkena batang hidung pemimpin tertentu, insaflah kerana CCTV Tuhan tidak pernah padam. Hukum Karma tetap berjalan. Jangan marah kepada mereka yang memberi maklumat kepada Sabahkini.net atau menyampaikan keluhan mereka kerana isu harus diselesaikan dan bukannya memecat mereka yang mendedahkan rahsia kemungkaran.

KEDENGARAN agak janggal jika Sabah yang membentuk sebuah Negara Malaysia bersama Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu masih mengemis daripada ‘Negara’ yang dibentuk pada 16 September 1963, sedangkan Sabah adalah salah satu entiti daripada empat kompartmen. Sepatutnya selepas Singapura ditalakkan daripada ‘Madu Tiga’ maka Sabah dan Sarawak diberikan hak mutaah yang ditinggalkan Singapura, namun taraf Sabah sudah diturunkan kepada ‘Gundik, Harem atau Perempuan Simpanan’ Persekutuan Tanah Melayu.

Di ambang Kerajaan Persekutuan bersiap sedia mahu menyambut ulang tahun ke 52 Kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos yang dicanangkan sebagai ‘Hari Kebangsaan’ yang sekaligus menafikan Hak Sabah dan Sarawak sebagai ‘isteri’ yang sah kepada Persekutuan Tanah Melayu untuk menuntut hak Fasakh daripada mana-mana Mahkamah kerana ‘Taklik 20 perkara’ tidak pernah dilafazkan.

Oleh itu tidak hairan, jika Amau Bin Apil, 53, yang dilahirkan di Kampung Tagapalang, Beluran merasakan tidak ada maknanya sambutan hari kemerdekaan yang dipaksa dirayakan setiap tahun pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September yang langsung tidak memberi sebarang harapan kepada beliau dan penduduk kampung yang masih bergelumang dengan ‘neraka dunia’ ciptaan UMNO dan Barisan Nasional.


BUSHMAN…. Hanya rumah ala Bushman inilah yang mampu  dibina penduduk kampung kerana janji pemimpin untuk membina 46 buah rumah PPRT masih lagi di alam mimpi. Peta yang dipegang Amau menunjukkan lokasi kampung mereka yang terpaksa melalui hutan simpan Lingkabau.

Jika Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengenali Amau sebelum menjadi Perdana Menteri, mungkin beliau malu untuk mengilhamkan cogankata ‘1Malaysia’ yang marfumnya ‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan’ dan sekaligus melantik Amau sebagai ‘Menteri Yang Tidak Berpotfolio’ di Jabatan Perdana Menteri seperti Idris Jala.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Shafie Haji Apdal mungkin malu untuk berjumpa Amau atau berpura-pura tidak mengenali Amau semata-mata takut jika terpaksa menerima pelawaan Amau untuk melawat dan membangunkan kampungnya sedangkan jalan Kampung Bubul Batu 1, Semporna yang letaknya hanya satu batu daripada Pekan Semporna masih berbatu kelilikir.

Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) Beluran, Rajibi Haji Aman mungkin terus meluluskan permohonan tanah Amau dan penduduk kampung Tagapalang tanpa banyak karenah jika beliau mengetahui  Amau terpaksa ‘menggadai nyawa’ menempuh perjalanan jauh untuk berulang-alik ke pejabat PPHT Beluran semata-mata untuk mendaftar permohonan tanah sedangkan Rajibi sewajarnya meluluskan ‘Tanah Adat’ mengikut ‘Hak Customary Right’ kerana beliau ‘berkuasa penuh’ terhadap tanah adat tanpa perlu merujuk kepada sesiapa.

Pegawai Pembangunan Negeri (SDO), Haji Matusin Sunsang juga sepatutnya meletakkan jawatan kerana meluluskan RM700,000 peruntukan KKLW kepada Ketua UMNO Bahagian Silam, Datu Nasrun Datu Mansur ‘tanpa izin’ Ahli Parlimen Malaysia (Silam), Haji Salleh Haji Kalbi kerana tidak ada satu projek pun yang disenaraikan oleh Amau selaku Pengerusi JKKK Kampung Tagapalang diluluskan, sebaliknya meluluskan dan mengeluarkan lebih 15 Suratkuasa bagi projek yang sama kerana senarai bertindih antara Parlimen Silam dan Adun Lahad Datu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Datuk Normah Gagoh, juga sepatutnya ‘bersara’ awal atau meminta dirinya ditukarkan ke Semenanjung Malaysia bagi membolehkan Kementerian Pelajaran melantik ‘Pengarah Pelajaran’ yang baru bagi melestarikan visi Perdana Menteri dan Unesco untuk memastikan setiap kanak-kanak di luar bandar berpeluang belajar di sekolah sejajar dengan anak pendatang asing yang dapat belajar di Humana sekalipun tidak mempunyai dokumen.

 

 

KEMPEN…. Pairin dan Michael Assang ketika berkempen di Tagapalang. Kini Pairin sudah menjadi Menteri Infrastruktur, mustahil tidak mampu membina jalan ke kampung Tagapalang agar pada pilihanraya akan datang tidak lagi perlu melalui sungai berjeram.

Huguan Siou, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan sepatutnya membubarkan institusi ‘Huguan Siou’ kerana tidak memberikan sebarang erti kepada penduduk kampung Tagapalang dan lebih 200,000 Anak Negeri yang terperangkap di dalam Hutan Simpan dan dizalimi kerajaan Barisan Nasional termasuk Amau yang telah lebih sepuluh tahun berjuang untuk mendapatkan kebenaran membina jalan melalui Hutan Simpan Lingkabau.

Pengarah Perhutanan Sabah, Datuk Sam Mannan juga sepatutnya tidak kembali ke Jabatan Perhutanan Sabah setelah ditukarkan ke Jabatan Hidupan Liar sekiranya dijadikan alat untuk membakar rumah penduduk kampung di dalam hutan simpan Serudong, menangkap penduduk kampung yang telah beranak pinak di hutan belantara sebelum beliau lahir dan sebelum Kerajaan Berjaya yang membuta tuli mewartakan kawasan kampung di Pedalaman sebagai Hutan Simpan.

Sebagai manusia yang punya hati dan perasaan, Sam Mannan sepatutnya meluluskan permohonan Amau untuk membina jalanraya ke kampungnya sejauh 16 kilometer merentasi Hutan Simpan Lingkabau sebagaimana beliau membenarkan Warisan Jaya Makmur Sdn.Bhd membina jalan sepanjang 60 kilometer di Hutan Simpan Mount Pock dan Tanjung Nagus di Semporna yang mendapat ‘Occupation Permit’ (OP) untuk menuai hasil kelapa sawit yang ditanam penduduk kampung sejak lebih 30 tahun lalu.  

Jika dakwaan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Dr Jeffrey benar, maka Sam Mannan juga sepatutnya meletakkan jawatan kerana ‘menutup mata’ ketika meluluskan tiga lesen pembalakan melalui jalan ‘tipuan’ dan ‘jenayah’ kepada Danagaya Sdn.Bhd, syarikat milik Michael Chia Tien Foh, jutawan balak yang dicipta di Zaman BN kerana mampu membawa 16 Juta Dolar Singapura di dalam ‘Brief Case’ ketika menyertai penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chek Lap Kok di Hong Kong menuju Kuala Lumpur, kononnya untuk membantu BN dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.

Read more at: http://www.sabahkini.net/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=2038:pengemis-kemerdekaan-yang-tercicir&catid=51:jendela-kuasa&Itemid=66



Comments
Loading...