PKR Desak Hentikan ‘Timber Laundering’


Oleh: HAFIZ JAMAIL

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) mendesak Kerajaan Negeri Sabah menghentikan kegiatan ‘Penggubahan Haram Hutan Simpan Komersil Kelas II’ (Timber Laundering) melalui Yayasan Sabah (Rakyat Berjaya Sdn.Bhd) sebelum diserahkan kepada kroni dan proksi tanpa melalui Kelulusan Kabinet Negeri Sabah.

Naib Presiden PKR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan ketika membuat Sidang Akhbar di Pejabatnya di Sokid Villa, Jalan Minintod, Penampang mendedahkan kegiatan ‘Timber Laundering’ ini merupakan modus operandi Kerajaan Negeri Sabah bagi mengelak isu ini dibawa ke Kabinet Negeri Sabah untuk kelulusan bagi penyerahan konsesi melebihi 1,000 ekar.

“Kita mengutuk keras kegiatan jenayah ‘Timber Laundering’ ini atas apa juga sebab kerana ia merupakan satu kegiatan jenayah terancang untuk memusnahkan hutan tropika yang amat bernilai melalui penyimpangan undang-undang dan salahguna kuasa,” ujar Jeffrey yang menekankan perbuatan berkenaan adalah pengkhianatan pemimpin Barisan Nasional terhadap rakyat dan negeri Sabah.

PEMALSUAN…. Peta asal ini (merah) menunjukkan kawasan  tersebut tidak boleh dibalak kerana kesemuanya tanah tinggi melebihi 25 darjah namun telah diubahsuai dan dipalsukan sehingga kawasan (merah) tanah tinggi hanya sedikit sahaja.

Jeffrey percaya kegiatan ‘Money Laundering’ yang dijalankan oleh seorang kroni Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman iaitu Michael Chia adalah berhubung rapat dengan kegiatan haram ‘Timber Laundering’ kerana beliau mempunyai bukti Michael Chia memperolehi pendapatan yang tidak ditaksirkan cukai dan memperolehi harta secara tidak sah melalui kegiatan tersebut.

Penangkapan Michael Chia di Hong Kong atas kegiatan ‘Money Laundering’ pada 14 Ogos 2008 di Lapangan Terbang Hong Kong telah membongkar misteri di sebalik enigma apabila kes berkenaan tidak pernah dilaporkan mana-mana media cetak melainkan media internet sekalipun laporan polis di buat oleh pemimpin Pakatan Rakyat (DAP) di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.

 

PALSU….Anehnya bagaimana pelan palsu Kompartmen A ini boleh disahkan dan diluluskan oleh Jabatan Perhutanan Sabah yang kononnya menjaga hutan?

 

JENAYAH…. Mampukah Polis Sabah menyelesaikan Skandal Jenayah Komersil terancang ini tanpa tunduk kepada 'kuasa Ketua Menteri' semata-mata kerana 'dihalalkan' oleh Jabatan Perhutanan Sabah dengan izin 'Ketua Menteri Sabah'.

Sehubungan itu kata Jeffrey, beliau mendesak agar kegiatan mengeluarkan Hutan Simpan Kelas II yang dikawalselia oleh Jabatan Perhutanan Sabah kepada Yayasan Sabah atau anak syarikatnya hendaklah dihentikan serta merta kerana menyalahi Dasar Perhutanan Kerajaan Negeri dan Enakmen Perhutanan Sabah melalui beberapa modus operandi yang mencabul undang-undang Negara.

“Kenapa Hutan Simpan Komersil harus diserahkan kepada Yayasan Sabah sedangkan Yayasan Sabah mempunyai kawasan mereka sendiri. Tambahan pula Yayasan Sabah tidak mempunyai pekerja melainkan menyerahkan kontrak pembalakan kepada beberapa syarikat kroni pemimpin kanan BN tanpa kelulusan Kabinet. Bukankah ini satu konspirasi?,” ujar Jeffrey yang mempersoalkan tindakan Kabinet Negeri Sabah yang ‘membenarkan’ amalan ‘Timber Laundering’ dan Pengarah Jabatan Perhutanan  yang kelihatan seperti ‘Kerbau Di Cucuk Hidung’.

 

MESYUARAT…. Jeffrey memanggil mesyuarat khas untuk mendapatkan mandat daripada Ketua Cabang PKR dan pemimpin akar umbi berhubung Timber Laundering danalam sekitar.

Kegiatan pembalakan di Konsesi Yayasan Sabah yang berada di dalam Kawasan Hutan Simpan adalah sama taraf dengan ‘penjenayah alam sekitar’ yang ‘merompak’ harta dan khazanah alam untuk kepentingan mereka dengan menghalalkan cara termasuk meminda atau memalsukan pelan pembalakan dengan subahat Pegawai Kanan Jabatan Perhutanan Sabah dan Yayasan Sabah.

Read more at: http://www.sabahkini.net/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=2023:pkr-desak-hentikan-timber-laundering&catid=35:berita-sabah&Itemid=27



Comments
Loading...