Sesi ‘Dialog’ Dengan Penduduk Seksyen 23


Oleh Khalid Samad

Semua melihat apa yang berlaku dalam sesi dialog tersebut. Saya merasakan ianya peristiwa yang amat memalukan ummat Islam. Tengah-tengah bulan puasa pula. Sedih. Itulah apa yang berlaku bila tidak menghayati ajaran agama dan tidak juga menerima asuhan yang baik dari pemimpin.

Hishamuddin memberi sokongan dan dorongan secara terbuka dan selepas itu menyedari tidak boleh secara terbuka, mesti secara tertutup. Seterusnya mengutuk tetapi semua tahu, reaksi awal adalah apa yang sebenar tersemat di hati. Hakikatnya tukang demo tidak dikenakan apa-apa tindakan hingga ke hari ini. Sedangkan tindakan mereka jelas melampaui batas. Ini adalah bukti bahawa Hishamuddin membela dan melindungi mereka. Begitu juga si Noh Omar, ‘hero Melayu’ gelar mereka.

Matlamat sesi dialog adalah untuk mendapat pandangan dan reaksi penduduk terhadap cadangan pemindahan berkenaan. Ianya merupakan langkah terakhir dalam proses lima langkah seperti berikut :-

1. Tapak cadangan dari PKNS – Ini adalah kerana telah dipersetujui PKNS akan menggantikan tapak kuil di Seksyen 19 dengan tapak lain milik mereka kerana tapak di Seksyen 19 akan diambil alih oleh mereka.

2. Persetujuan MBSA bahawa lokasi berkenaan adalah sesuai. Ini adalah wajar memandangkan MBSA adalah pihak yang bertanggung jawab atas perancangan bandar Shah Alam.

3. Persetujuan AJK Kuil – ini telah diperolehi selepas proses perbincangan pada hujung bulan Mei. Nota mesyuarat ditanda-tangani sebagai bukti persetujuan mereka kerana tidak mahu berlaku penafian atau bertukarnya fikiran. Surat inilah yang dijaja oleh orang-orang demo kepala lembu itu. Persetujuan AJK kuil perlu kerana dasar PR ialah musyawarrah bukan paksa pindah ke mana orang lain tetapkan.(Itu dasar UMNO – rujuk pengakuan bangga KT).

4. Persetujuan Kerajaan Negeri atas cadangan untuk memindahkan kuil ke tapak yang dicadangkan. Ini adalah kerana Kerajaan Negeri mahu memantau semua aktiviti pembinaan dan perobohan kuil.

Pada tahap ini, cadangan mencapai status sebagai ‘cadangan rasmi’ dan barulah boleh dibincangkan dengan pihak awam, terutama penduduk sekitar kawasan berkenaan. Mengadakan perbincangan bersama penduduk sebelum mendapat persetujuan ke empat-empat pihak ini tidak memberikan sebarang makna, kerana cadangan itu belum lagi merupakan cadangan rasmi.

5. Pertemuan dan perbincangan dengan penduduk berhubung cadangan yang telah dipersetujui terlebih dahulu oleh ke empat-empat pihak seperti di atas. Ini adalah kerana walau macam mana sekalipun, penerimaan oleh penduduk sekitar adalah penting untuk menjamin keharmonian.

READ MORE HERE: http://www.khalidsamad.com/



Comments
Loading...