Tubuh Unit Khas Siasat Pemalsuan


Oleh: ZAINUDDIN HASSAN

BERDASARKAN dua laporan polis yang dibuat oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, di Balai Polis Penampang iaitu PPG/RPT 5914/09 dan PPG/RPT/6019/09, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sewajarnya menubuhkan Unit Khas daripada Bahagian Jenayah Komersil Bukit Aman untuk menyiasat kes pemalsuan Peta Pembalakan yang melibatkan Kerajaan Negeri Sabah kehilangan sumber hutan dan menimbulkan impak alam sekitar yang tidak terkawal.

Walaupun Jabatan Perhutanan Sabah segera menangguhkan pelaksanaan dua lesen membalak bagi Konsesi YS 3/07 (6A) dan YS 3/07 (6B) di kawasan Hutan Simpan Komersil Kelas II Kuamut, Kinabatangan sejurus selepas laporan polis dihantar melalui faksimili daripada Balai Polis Penampang, namun Pengarah Perhutanan Sabah meneruskan lesen pembalakan Konsesi YS 3/07 (5)  yang diperolehi melalui modus operandi pemalsuan peta pembalakan yang sama.

Sehubungan dengan itu, atas arahan Pucuk Pimpinan PKR, saya telah menghantar notis bertulis kepada Pengarah Perhutanan Sabah pada 10 September 2009 meminta penjelasan kenapa pembalakan di Konsesi YS 3/07 (5) diteruskan sedangkan ianya termasuk di kawasan tanah tinggi melebihi 25 darjah dan diluluskan berdasarkan Peta Pembalakan yang dipalsukan dengan memberi tempoh 14 hari daripada tarikh notis tersebut diterima untuk mereka memberikan penjelasan bertulis atau siaran akhbar.

Dalam hal ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang masih dibelenggu dengan pelbagai masalah mungkin tidak mempunyai kepakaran untuk menyiasat kes penipuan dan pemalsuan peta pembalakan kerana ianya di bawah jurisdiksi Bahagian Jenayah Komersial Polis Di Raja Malaysia.

SPRM hanya terlibat dalam soal ‘rasuah dan salahguna kuasa’ hanya jika terdapat alibi kukuh pembayaran wang daripada Michael Chia kepada Datuk Sam Mannan, Han Wai Kong dan kakitangan yang terlibat dalam proses pemalsuan peta pembalakan, namun ianya belum dizahirkan secara sah, maka PDRM harus menyiasat bagaimana pemalsuan peta pembalakan dilakukan bagi mendapatkan Lesen Pembalakan di kawasan yang tidak boleh dibalak.

Mungkin kes ini agak rumit dan baru didedahkan kepada umum, maka PDRM mungkin mengalami masalah teknikal dan terpaksa meminta bantuan unit forensik untuk menentusahkan peta asal dengan peta yang dipalsukan oleh Han Wai Kong, maka ada wajarnya jika mereka menggunakan khidmat Jabatan Topografi dan Pemetaan Negara serta Unit Remote Sensing Negara yang boleh memberikan gambaran sebenar.  

Sebagai warganegara Malaysia yang cintakan negeri dan negara ini, saya telah menjalankan siasatan sendiri dengan bantuan kakitangan Jabatan Perhutanan yang jujur dan berkhidmat dengan penuh tanggung jawab, namun maruah mereka dicemari oleh kakitangan yang tidak amanah seperti Han Wai Kong, Othman Matnoh dan sebagainya, termasuk Pengarah Perhutanan Sabah sendiri, secara sedar turut bersubahat dan terlibat secara langsung dengan sindiket pemalsuan peta pembalakan dan mengeluarkan lesen pembalakan sekalipun beliau tahu, dengan maklumat yang berada di hujung jari, kawasan berkenaan TIDAK BOLEH dibalak.

 

 

Mengikut maklumat dalaman Jabatan Perhutanan Sabah, permohonan lesen membalak bagi YS 3/07 (5), YS 3/07 (6A) dan YS 3/07 (6B) yang dikemukakan kepada Jabatan Perhutanan akan diminit terus ke Bahagian GIS/Unit Pemetaan untuk pemprosesan.

Di Unit GIS/Pemetaan, Pegawai yang bertanggung jawab, Han Wai Kong akan berbincang dengan adiknya iaitu Pengurus Besar Danagaya Sdn.Bhd, Frank Han Kan Kong bagi menyediakan draf peta pembalakan yang dipalsukan dengan mengecilkan pelan kontour kawasan tanah tinggi sehingga ianya kelihatan landai dan di bawah 25 darjah.

Setelah draf kasar pelan palsu disediakan, Frank Han akan mendapatkan persetujuan daripada pemilik dan Pengarah Danagaya Sdn.Bhd iaitu Michael Chia dan Yap Siaw Lin terutama rundingan komisyen untuk Han Wai Kong dan kakitangannya (jumlah tidak diketahui).

Setelah harga dipersetujui (tidak ada yang mahu melakukan penipuan secara sukarela), Han Wai Kong akan mengarahkan kakitangannya, terutama Othman Matnor atau kakitangan lain menyediakan peta palsu dengan melandaikan kecuraman tanah tinggi terutama di konsesi YS 3/07 (5), YS 3/07 (6A) dan YS 3/07 (6B) yang pada prinsipnya tidak seincipun kawasan tersebut boleh diteroka atau dibalak.

Lazimnya, pemeriksaan lapangan akan dilakukan bersama dengan Wakil Syarikat, KPPM Tongod dan Othman Matnoh dan Rahmadin Saini daripada unit GIS Jabatan Perhutanan.

Namun dalam kes permohonan pemalsuan peta pembalakan Danagaya Sdn.Bhd yang disediakan oleh Han Wai Kong dan kakitangannya, TIDAK ADA sebarang pemeriksaan lapangan dilakukan dan sebenarnya TIDAK PERNAH dilakukan langsung.

Read more at: http://www.sabahkini.net/v1/index.php?option=com_content&view=article&id=2220:tubuh-unit-khas-siasat-pemalsuan&catid=41:jenayah&Itemid=56



Comments
Loading...