Berbuka Puasa di Kelantan
Untuk mencapai matlamat, ahli-ahli dalam parti-parti komponen Pakatan Rakyat hususnya perlu sentiasa komited dalam perjuangan mereka. Parti-parti dalam Pakatan pula mestilah tidak ada was-was dan syak wasangka antara satu sama lain.
Zaid Ibrahim
Saya berkesempatan berbuka puasa dengan ahli-ahli PAS dan KeADILan di Machang dan Tumpat, Kelantan minggu ini. Seperti biasa, ruang diberi oleh pihak penganjur untuk saya berucap ringkas . Di majlis tersebut, saya memberi pandangan dan penekanan dalam beberapa perkara. Saya tumpukan kepada usaha mencari jalan mengukuhkan perpaduan dalam Pakatan Rakyat dan formula untuk menang pilihan raya umum akan datang.
Pakatan Rakyat adalah gagasan politik yang baru. Jadi ia mesti sanggup membawa mesej dan idea poltik dan pentadbiran yang baru, yang berbeza dengan Barisan Nasional. Tidak ada makna kalau rakyat hanya menukar kepimpinan negara dengan orang baru kalau arah tuju dan dasar pentadbiran tidak jauh bezanya dengan cara UMNO sekarang. Tidak cukup kalau kita hanya mengkritik UMNO dan BN. Kita mesti bersedia menggariskan intipati perjuangan serta dasar politik yang lebih mulia, dinamis dan saksama berbanding dengan UMNO. Persoalan untuk diri kita sendiri adalah, apakah kita akan teruskan amalan menggunakan wang rakyat ratusan juta untuk projek”glamour” seperti perlumbaan F1 sedangkan ada kumpulan orang Asli ( Orang Asal) di Pahang yang hidup dengan pendapatan 20 ringgit sabulan. Dan ramai lagi rakyat tidak ada bekalan elektrik dan air? Apakah kita akan terus mentadbir PETRONAS secara rahsia seperti sekarang dengan hanya Perdana Menteri dan Lembaga Pengarahnya sahaja yang tahu di mana wang dibelanjakan?
Selain dari dasar pentadbiran, kepimpinan dan ahli Pakatan Rakyat mesti dapat menunjukkan kepada rakyat bahawa mereka juga sanggup berubah. Berubah dari nilai politik dan kefahaman yang lama, dan sanggup memikirkan kepentingan kumpulan sebagai lebih penting dari kumpulan parti masing-masing. Cara dan skop muafakat pilihan raya PAS, DAP dan KeADILan yang mungkin memadai untuk menang 82 kerusi dalam tahun 2008 sudah tidak lagi cukup untuk menang minimum 115 kerusi Parlimen bagi menubuhkan Kerajaan Pusat.