“Keterbukaan” Najib: Mulanya era penapisan internet


(Merdeka Review) Sejak mengambil alih tampuk pimpinan pada April 2009, Najib dengan gerak-geriknya cuba menampilkan imej yang memperlihatkan "keterbukaan".  Pembebasan tahanan ISA sebanyak tiga kali, laungan slogan "1Malaysia", liberalisasi sektor ekonomi, pemansuhan kuota ekuiti bumiputera… menyaksikan kesediaan Najib untuk bersaing dengan PR dalam "keterbukaan".

Namun, kelantangan slogan "1Malaysia" gagal menenggelamkan kenyataan bahawa UMNO di bawah pimpinan beliau, cuma memecah-belahkan masyarakat mengikut kaum untuk mengukuhkan kuasa mereka.

Di sebalik imej Najib  (gambar kiri) yang "terbuka", Utusan Malaysia dan TV3 yang dimiliki UMNO mereka dan menyebarkan hujah-hujah berbau perkauman.  Utusan Malaysia misalnya, memainkan isu "perpaduan Malayu" sejak Najib memegang kuasa.  Untuk mereka, kaum Cina dan India yang memperjuangkan kesamarataan dilihat sebagai musuh yang "melampau" dan mencabul hak Melayu.  Justeru itu, Melayu dalam UMNO dan PAS diseru agar bersatu untuk menentang kebangkitan kaum lain.

"Perarakan kepala lembu" adalah manifestasi pandangan sedemikian.  Mereka yang mengikuti Utusan Malaysia akan memahami mengapa tindakan "menyembelih kepala binatang suci agama lain dan mengheretnya ketika berarak" boleh berlaku di masyarakat Malaysia yang harmoni ini.

Percanggahan retorik Najib dengan UMNO yang dipimpinnya, hanya menjelaskan slogan Najib yang cantik molek itu sekadar solekan untuk menyembunyikan wajah yang hodoh.  Pada detik saat Najib mengukir senyum dalam laungan 1Malaysia-nya, bayangnya terus menghantui masyarakat Malaysia yang rapuh, ditambah pula cubaannya untuk mengkucar-kacirkan negeri pemerintahan Pakatan Rakyat.

Simpton schizophrenic kerajaan Najib paling jelas ditonjolkan apabila Utusan Malaysia pada 15 April 2009 menyiarkan gambar Najib memasak capati bersama wanita Sikh sempena Hari Vaisakhi di muka depannya, sementara tajuk utama berita hari tersebut berbunyi "Bersatu hadapi tuntutan kaum lain yang semakin keterlaluan–Bangkitlah Melayu".

Dalam detik saat semangat perkauman kian membara, kerajaan Najib pula mengetatkan ruang kebebasan bersuara.  Penganalisa politik pernah meramalkan bahawa ruang kebebasan bersuara bakal mengecut di bawah Najib kerana beliau dihantui kes pembunuhan Altantuya.  Ramalan tersebut menjadi realiti dalam masa dua minggu setelah Najib berkuasa.  Stesen televisyen swasta menerima notis agar tidak menyiarkan, malah menyebut nama tertuduh ketiga, iaitu Razak Baginda sekiranya melaporkan kes tersebut.

Pada masa yang sama, pihak pengurusan stesen televisyen awam mahupun swasta turut mengarahkan supaya tidak memberi liputan kepada kes ADUN BN memboikot sidang mesyuarat DUN Terengganu.

Zaman penapisan internet

Walaupun Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Rais Yatim menafikan bahawa wujudnya larangan untuk melaporkan berita boikot ADUN Terengganu, namun RTM di bawah penyeliaannya telah menampal notis di studio, menyenaraikan tujuh isu yang dilarang untuk siaran perbincangan, termasuk politik (pembangkang), institusi raja, seks dan sebagainya.

Di bawah Rais Yatim, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang jarang mempersoalkan kandungan internet, secara tiba-tiba bertukar menjadi sebuah badan yang aktif.  MCMC bukan sahaja mengunjungi Malaysiakini untuk empat kali, meminta agar dua klip video ditarik balik, malah memberi amaran kepada blogger supaya berhati-hati ketika memberi pandangan.

Dengan kata lain, pemerintahan Najib yang "terbuka" ini telah membuka tirai untuk era penapisan internet.  Walaupun Najib menafikan bahawa kerajaan berniat untuk meniru cara kerajaan China yang menapis maklumat alam siber dengan "Green Dam", tetapi penapisan telah menjadi realiti.  Baru-baru ini, ketika ditemuramah Utusan Malaysia, secara tidak langsuang Rais Yatim mengaku bahawa kementeriannya sedang memantau kandungan dalam alam siber.

Beliau memaklumkan bahawa kementeriannya telah mengesan 500 hingga 540 rejaman atau tohmahan palsu setiap bulan menerusi blog, e-mel, Facebook dan Twitter terhadap institusi raja, nilai-nilai Islam, pencapaian orang Melayu serta dasar-dasar kerajaan termasuk gagasan 1Malaysia.

Selain menapis internet, mengetatkan ruang bersuara, Najib turut bersedia untuk meminda akta yang berkaitan internet, untuk "menangani masalah penyalahgunaan internet untuk aktiviti yang tidak bermoral dan haram".

Najib amat menyedari bahawa lakonan "keterbukaan" itu memerlukan kerjasama media.  Menambat semula media internet yang terlepas pada zaman Abdullah Ahmad Badawi merupakan taktik Najib untuk mengukuhkan kuasa.

16 September 2008, rakyat terpesona dengan harapan untuk berubah; 16 September 2009, satu Malaysia diselubungi sentimen rasisme.  Sekumpulan warga Malaysia telah berpuasa, mendoakan kesejahteraan Malaysia, malah sekumpulan lagi dengan identiti "Anak bangsa Malaysia" mereka, cuba mencari jalan keluar daripada diselubungi semangat perkauman.

Namun demikian, memandangkan fenomena polarisasi yang sedia wujud, imaginasi Malaysia yang dilakar mereka itu mungkin masih jauh dari alam realiti. (Bahagian kedua, tamat)

Bahagian pertama: Setahun selepas 916:  Fenomena "polarisasi" wujud



Comments
Loading...