Sifat PAS


(The Nut Graph) INI kisah kala jengking dan katak. Si kala jengking perlu merentas sungai tetapi tidak mampu, jadi terpaksa meminta untuk menumpang atas belakang si katak. Si katak mula-mulanya enggan dan takut.

"Nanti kau mesti sengat aku punya," keluh si katak. Si kala jengking dengan ikhlas berjanji, "Aku tak akan sengat engkau. Buat apa aku nak sengat engkau? Nanti kalau engkau lemas, aku pun akan lemas juga." Jadi si katak pun bersetuju membawa si kala jengking di atas belakangnya merentas sungai.

Akan tetapi, sebaik sebelum sampai ke tebing seberang sungai tersebut, si kala jengking tiba-tiba menyengat si katak. "Kenapa kau sengat aku? Kan kau dah janji tak akan sengat aku?" Si kala jengking menjawab, "Aku kala jengking. Inilah sifat aku."

Kali pertama saya mendengar kisah ini, saya tidak tahu sama ada mahu marah atau kesian terhadap si kala jengking. Malah, saya juga tidak tahu sama ada mahu marah atau kesian terhadap si katak. Dua-dua menjadi mangsa kepada sifat masing-masing.

Dan apabila saya terbaca bahawa Dewan Pemuda PAS sekali lagi mendesak pengharaman konsert — kali ini oleh Beyoncé — saya teringat kisah si kala jengking dan si katak. Saya langsung tidak terkejut dengan tindakan PAS ini. Saya juga tidak tahu sama ada mahu marah atau bersimpati atau hormat kepada PAS — bukankah ini sifat PAS? Saya juga tidak tahu sama ada mahu marah atau bersimpati dengan rakan-rakan PAS dalam Pakatan Rakyat, terutamanya Parti Keadilan Rakyat, yang tiba-tiba sunyi sepi dalam situasi ini. Adakah ini memang sifat mereka?

Betul, cadangan PAS untuk mengharamkan lagi satu konsert memang bermasalah. PAS sebagai parti Islam mahu mengharamkan konsert "sekular" yang kononnya "tidak bermoral". Apakah beza di antara PAS dan kerajaan sekular di Perancis yang mengharamkan pemakaian tudung di kalangan wanita Islam kerana kononnya ia bertentangan dengan prinsip negara sekular?

Tetapi saya sudah banyak mengupas isu ini dari sudut pandang seperti ini. Malah, setelah saya bertemu dan berdialog dengan kepimpinan Dewan Pemuda PAS, saya dapati bahawa saya memang menghormati dan mesra dengan mereka, walaupun saya 100% tidak bersetuju dengan wacana dan tindak-tanduk mereka.

Jadi apa lagi yang boleh dikatakan? Ini memang sifat PAS. Sekarang, saya berminat untuk mengkaji apa pula sifat karyawan yang menjadi mangsa pengharaman pihak berkuasa.

Read more at: http://www.thenutgraph.com/sifat-pas



Comments
Loading...