Isu jawatan KM digilir.. apa kata Yusmadi sebenarnya..


By Anak Sungai Derhaka

Ketua Pemuda PKR Pulau Pinang, Yusmadi Yusoff menjadi watak utama apabila Berita Harian menyiarkan berita bahawa beliau mahu jawatan KM Pulau Pinang digilirkan berdasarkan formula baru.

Berita yang bertajukkan "Pemuda PKR mahu jawatan KM digilir mengikut formula baru" dengan tajuk sampingan "Beri peluang kepada semua kaum pegang jawatan Ketua Menteri", menimbulkan kontradiksi antara parti komponen PR, khususnya DAP dan PKR, hari ini.

Setiausaha Agung DAPSY Pulau Pinang, Ng Wei Aik telah mengeluarkan kenyataan untuk menyelar Yusmadi Yusoff sebagai gila kuasa dan rasis. Ng Wei Aik mengambil Sabah sebagai contoh untuk membuktikan bahawa sistem KM bergilir gagal menyelesaikan masalah rakyat.

Yusmadi: Tidak sebut "giliran"

Bagaimanapun, ahli parlimen Balik Pulau ini memberi penjelasan melalui kenyataan media selepas itu. Yusmadi menjelaskan bahawa dirinya ditelefon wartawan Berita Harian untuk bertanyakan pandangannya mengenai hari raya. Beliau tidak mengulas sama sekali berkenaan isu KM bergilir.

"Saya langsung tidak menyebut perkataan 'giliran' dalam temuramah tersebut," katanya, yang kini sedang mempertimbangkan nasihat peguam lain untuk tindakan seterusnya. Berita Harian dikatakan memetik hujahnya dalam konteks yang berlainan.

Yang berikut adalah kenyataan penuh Yusmadi Yusoff:

Hari ini saya dihujani dengan email dan sms daripada pelbagai pihak termasuk pimpinan parti saya dan teman-teman penyokong Pakatan yang membaca laporan akhbar di dalam Berita Harian halaman 6 bertarikh 29 September 2009 bertajuk "Pemuda PKR mahu jawatan KM digilir ikut formula baru".

Ingin saya jelaskan di sini bahawa saya tidak pernah sekali-kali membangkitkan isu jawatan KM DIGILIR ikut formula baru. Saya memberi pandangan berlatar belakangkang sambutan hari raya yang antara lain menunjukkan bahawa terdapat penerimaan masyarakat terhadap citra kepimpinan politik baru yang dibawa oleh Pakatan Rakyat selepas 8 Mac 2009. Kunjungan rakyat berbilang kaum ke rumah-rumah terbuka anjuran pimpinan Pakatan Rakyat tidak kira bangsa seperti yang dianjurkan oleh pimpinan PKR, DAP dan PAS menggambarkan bahawa formula kepimpinan yang digunakan oleh BN/UMNO yang mengangkat agenda perkauman telah ditolak.

Saya cadangkan kenyataan saya dibaca tanpa TAJUK dan Tafsiran yang diberikan oleh akhbar, tetapi fokus kepada petikan (quotation) yang digunakan yang lebih menggambarkan kenyataan saya yang sebenar. Saya yakin pembaca sekalian mempunyai kematangan untuk membezakan apa yang benar dan apa yang salah.

Read more at: Isu jawatan KM digilir.. apa kata Yusmadi sebenarnya..



Comments
Loading...