Nantikan: Turning point untuk MCA


By My Living Wall

Tidak ada mana-mana ahli malah pemimpin MCA sekali pun yang melebihi parti.  Segala ugutan ataupun taktik keras sedemikian tidak akan mengoyahkan tekad kepemimpinan parti untuk mengembalikan maruah MCA di mata masyarakat Cina.

Inilah juga kesempatan terbaik untuk pucuk kepemimpinan parti mengetahui dengan mata sendiri siapakah sebenarnya ahli-ahli parti yang benar-benar setia kepada parti… Kuantiti tidak melambangkan apa-apa. Sebaliknya, parti tersebut akan hanya dihormati dan digeruni jika ia memiliki ahli-ahli yang berkualiti bukan sahaja dari aspek pemikirannya, tingkah laku bahkan juga mempunyai kemampuan berfikir di luar kotak tanpa dipengaruhi emosi.

Artikel:

Merujuk kepada sebuah artikel nukilan wartawan Berita Harian, Jamhariah Jaafar yang terbit pada 26 September 2009 lalu dengan tajuk utamanya ”Krisis MCA retak menunggu”. Penulis tersebut dalam hujah-hujahnya memberikan gambaran yang mengelirukan dan berat sebelah kerana hanya melihat krisis politik MCA dari satu sudut sahaja.

Antara hujah yang dikemukakan beliau ialah krisis MCA kini diibaratkan retak menunggu belah. Kepada penulis itu, apakah maksud retak menunggu belah? Adakah MCA begitu tenat sehingga kesemua 940,000 ahli yang sedia ada, semuanya memberontak terhadap kepemimpinan Presiden Parti, Dato’ Sri Ong Tee Keat? Apakah para perwakilan MCA tidak mempunyai pendirian sendiri sehingga begitu mudah termakan dengan emosi dan janji-janji pihak yang mahu mengadakan EGM?

Komuniti Cina sokong pemimpin bermoral

Apa yang tidak dinyatakan oleh penulis itu ialah masih ada sebahagian besar ahli-ahli parti serta komuniti Cina yang berdiri teguh di belakang Tee Keat. Beberapa orang pemimpin komuniti terkenal seperti Tan Sri Robert Phang dan Datuk Chor Chee Heung sudah tampil menyatakan sokongan mereka kepada kepemimpinan Tee Keat.

Selain itu, selaklah surat-surat pembaca yang terbit dalam akhbar-akhbar perdana dan didapati ramai pembaca atau lebih tepat lagi rakyat jelata telah menyatakan pendirian mereka. Rata-ratanya mahu melihat MCA diterajui oleh seorang pemimpin berkaliber dan bermoral.  

Kewujudan fraksi sesuatu yang normal dalam politik

Apa yang cukup menghairankan juga ialah artikel tersebut turut menyatakan penganjuran EGM kali ini tidak akan menjanjikan apa-apa kesudahan melainkan kewujudan dua kem/fraksi. Ini cukup melucukan! Apakah penulis awal-awal lagi sudah mengetahui kesudahan EGM sehingga begitu yakin memberikan kesimpulan sedemikian?

Dalam mana-mana parti politik sekalipun, kewujudan fraksi sememangnya tidak dapat dielakkan. Selagi ada satu pihak yang bercita-cita tinggi untuk menaiki hierarki parti dan selagi wujudnya semangat berpuak-puak, maka selama itu jugalah fraksi ini akan berpanjangan.
EGM menghormati hak perwakilan

Dalam konteks ini, tindakan pucuk kepemimpinan parti untuk hanya mengadakan satu Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) dilihat cara terbaik untuk mengatasi kemelut ini. Adalah merupakan satu pandangan yang cukup naif untuk mengatakan kesudahan EGM tidak akan menjanjikan apa-apa.

Sekurang-kurangnya EGM tersebut akan memberikan ruang seluas-luasnya kepada para perwakilan sebanyak 2,377 untuk menyuarakan pendirian mereka terhadap lima resolusi yang dikemukakan.

Dengan ruang yang diberikan kepada para perwakilan untuk bersuara pada EGM nanti, ia sebenarnya membolehkan proses demokrasi terus bercambah dalam MCA dan menidakkan segala tohmahan kononnya parti tersebut diterajui oleh seorang pemimpin diktator.

Pada hemat saya, keputusan untuk hanya mengadakan satu EGM dan kesediaan pucuk kepemimpinan parti mempersetujui kepada lima resolusi yang dikehendaki pihak lawan, menjadi turning point kepada memecahkan kebuntuan dalam krisis tersebut.

Read more at: http://www.mylivingwall.com/v3/politics-news-menu-71/7289?task=view



Comments
Loading...