Graf sokongan terhadap Najib terus merudum


(Harakah Daily) – Lagi tiga hari menjelang pilihan raya Bagan Pinang yang amat penting untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, graf sokongan kepada beliau turun menjunang.

Menurut poll terbaru yang dibuat oleh Merdeka Centre yang diedarkan hari ini, tahap sokongan kepada Najib turun 9 peratus dalam masa empat bulan berbanding dengan bulan Jun lalu.

Jun lalu, tahap sokongan kepada Najib adalah 65 peratus manakala poll terbaru mendapati tahap sokongan kepada beliau turun kepada 56 peratus sahaja, lapor laman web The Malaysian Insider.

Poll yang dibuat sempena enam bulan Najib menjadi Perdana Menteri itu mendapati rakyat tidak berpuashati dengan pencapaian Najib tentang korupsi dan kejadian jenayah yang terus meningkat.

Namun mereka berpuashati dengan usaha Najib untuk memperbaiki sistem pendidikan, pengurusan ekonomi dan kecekapan kerajaan.

Secara keseluruhannya, kajian ini mendapati, jumlah orang yang tidak berpuashati dengan Najib juga meningkat dari 22 peratus Jun lalu kepada 23 peratus sekarang ini.

ImagePoll ini dibuat melalui perbualan telefon yang dibuat kepada 1027 respondan yang dipilih secara rawak. Ia dijalankan pada 4-14 September lalu.

60 peratus respondan adalah Melayu, 30 peratus Cina dan sembilan peratus India.

Dalam pada itu, untuk pilihan raya ini, Najib berkata, BN tidak kesah dengan berapa jumlah majoriti yang bakal dicapai oleh calonnya di Bagan Pinang.

Yang penting adalah kemenangan, kata beliau kepada para wartawan.

Berbanding dengan pilihan raya sebelum ini, Presiden Umno menyerahkan sepenuhnya operasi pilihan raya kepada timbalannya.

Namun, untuk pilihan raya Bagan Pinang, Najib didapati terlibat secara aktif termasuk hadir ke kawasan pilihan raya di hari calon BN diumumkan.

Beliau juga membuat ulasan dari masa ke semasa tentang pilihan raya kecil ini.

Menurut sumber, pemilihan Tan Sri Mohamad Isa juga dibuat oleh beliau secara pribadi kerana beberapa kenyataan yang dibuat timbalan beliau, Tan Sri Muhyidin Yassin sebelum ini membayangkan beliau tidak bersetuju dengan Isa.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir juga tidak bersetuju dengan pemilihan Isa.

 



Comments
Loading...