Hayat MCA Menuju Senja


Menurut Ronnie, sudah sampai masanya untuk MCA gulung tikar kerana walau siapa pun di antara kedua pemimpin itu menerajui parti, mereka tidak akan dapat meraih semula kepercayaan masyarakat Cina.

TV Antara

Pergolakan dalam MCA terus berlarutan sehingga Mesyuarat Agong Luar Biasa (EGM). Melihat kepada keputusan undi tidak percaya yang berlangsung semalam, parti perkauman Cina itu secara rasminya berpecah dua.

Presiden MCA, Ong Tee Keat terpaksa akur dengan keputusan 1, 155 perwakilan yang menyokong undi tidak percaya terhadap kepimpinannya sebagai presiden parti.

Tidak cukup dengan itu, seteru beliau, Chua Soi Lek di undi menganggotai keahlian MCA setelah 1,204 perwakilan membantah keputusan Majlis Presiden memecat Soi Lek.

Bagi Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat DAP, Ronnie Liu, krisis yang melanda MCA bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

“Kalau dia sudah tahu pemecatan itu akan menimbulkan kekecohan dan dia teruskan maknanya dia tidak mempunyai visi sebagai pemimpin. Saya tahu memang ramai di kalangan MCA, merasa walaupun Chua Soi Lek walaupun dia sudah melakukan kesalahan, dia telah mengaku bersalah dan minta diberikan satu lagi peluang. Kalau Ong Tee Kiat tidak mahu memberikan peluang, maksudnya dia yang melakukan kesalahan” ujar Ronnie.

Menurut Ronnie, sudah sampai masanya untuk MCA gulung tikar kerana walau siapa pun di antara kedua pemimpin itu menerajui parti, mereka tidak akan dapat meraih semula kepercayaan masyarakat Cina.

Apa yang dikesalkan adalah perpecahan yang berlaku ini bertitak-tolak dari cita-cita kuasa dan kepentingan politik, bukannya pergaduhan demi kepentingan rakyat.

” Bagi kita MCA sudah tidak relevan lagi. Bagi saya kalau keputusan EGM MCA tidak macam ini, misalnya Ong Tee Keat menang, MCA pun kalah juga akhirnya kerana cara dia seolah-olah dia langsung tidak hormat pada ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin lain. Dan kalau Chua Soi Lek menang pun MCA kalah kerana rekodnya sudah cacat kerana seorang yang buruk rekodnya untuk memimpin sebuah parti yang besar seperti MCA akhirnya kalah juga” tambahnya lagi.

Malah ujarnya lagi, jika pergolakan ini berterusan, maka MCA sudah tidak mempunyai apa-apa fungsi sebagai parti komponen kepada Barisan Nasioanal.

” Apa yang berlaku pada hari ini lebih teruk dari sebelum ini sebab MCA tanpa kepala. Kita pun tidak tahu apa yang MCA akan lakukan. Pemimpin yang lain pun saya rasa masih belum bersedia. Tidak akan diterima oleh kedua-dua belah pihak. Jadi saya rasa kekecohan akan berlarutan dan terus menjadikan MCA tidak relevan dan tidak dapat memberikan bantuan kepada Barisan Nasioanal secara keseluruhan”.

Manakala bagi Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke Siew Fook, pergolakan yang melanda MCA adalah perpecahan paling besar pernah berlaku dalam parti itu.

” Bagi saya krisis MCA ini tidak akan selesai dengan begitu mudah. Nampaknya sekarang mereka makin tertekan kerana presidennya telah diberi undi tidak percaya dan timbalannya tidak dapat dikembalikan kepada jawatannya. Bagi saya ini perpecahan yang agak besar dalam parti MCA dan tidak mudah untuk mencari seorang pengganti kepada presiden ini kerana mungkin selepas ini akan berlaku lagi perebutan kuasa kerana selepas ini. Ini kerana kedua-dua jawatan presiden dan timbalan presiden telah terbuka dan ini membuka ruang kepada perebutan kuasa di antara pemimpin-pemimpin kanan MCA”.

Menurutnya lagi, masyarakat Cina di negara ini telah lama menjadi pemerhati politik MCA dan mereka sudah mula jemu dengan kerenah pemimpin-pemimpin MCA yang asyik bercakaran demi mengukuhkan kedudukan masing-masing.

“Saya rasa masyarakat Cina telah muak dengan apa yang berlaku dalam MCA. Pemimpin-pemimpin MCA ini hanya memikirkan diri dan karier politik mereka dan mereka terus berebut kuasa di antara meraka. Dan saya merasakan masyarakat Cina ini telah berputus asa kepimpinan MCA ini dan saya rasakan ialah Pakatan Rakyat berjaya menyakinkan masyarakat Cina bahawa kepimpinan baru, politik baru yang kita bawa berjaya menyakinkan dan masyarakat Cina terus memberikan sokongan yang padu kepada Pakatan Rakyat”.



Comments
Loading...