Kelab Penyokong PAS terus terpinggir, Pemuda Gerakan


Saya merujuk kepada cadangan PAS untuk menjadikan Kelab Penyokong PAS dari kalangan bukan Islam sebagai salah satu sayap parti tersebut.

Saya berasa kesal atas cadangan PAS tersebut yang terus berbentuk diskriminasi terhadap orang bukan Islam, termasuk di dalam parti sendiri.  Sekiranya PAS benar-benar ingin menyerap rakyat bukan Islam ke dalam parti tersebut, PAS harus memberi keahlian penuh kepada ahli-ahli Kelab Penyokong PAS dan bukannya keahlian parti jenis kelas kedua yang hanya bertaraf sayap.

Ketika mengemukakan cadangan sedemikian, Presiden PAS Abdul Hadi Awang juga telah dilaporkan berkata, “sokongan dari kalangan bukan Islam terhadap parti itu dilihat semakin meningkat dan ia dibuktikan dengan kesungguhan mereka dalam membantu jentera parti dalam menghadapi beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.”

Saya ingin menyatakan bahawa Abdul Hadi Awang mungkin telah terkeliru dengan ahli-ahli bukan Islam dari DAP dan PKR yang telah bekerja untuk jentera pilihanraya kecil Pakatan Rakyat.  Sebaliknya, keputusan pilihanraya kecil Bagan Pinang telah menunjukkan kekecewaan rakyat, terutamanya golongan bukan Islam, terhadap polisi yang dicadang dan dilaksanakan oleh PAS di negeri Pakatan Rakyat.  Sokongan orang bukan Islam terhadap PAS akan terus merosot sekiranya PAS masih gagal untuk menerima Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dengan kebebasan agama mengikut Perlembagaan negara kita.

Kenyataan media oleh Tan Keng Liang, selaku Ketua Pemuda Gerakan Kedah.



Comments
Loading...