Pengalaman di Bagan Pinang


Khalid Samad

Sudah agak lama saya tidak update blog ini disebabkan kesibukan selepas selesai bertugas di Bagan Pinang. Setelah berada di Bagan Pinang selama 5 hari, saya kembali ke Shah Alam pada 10 Oktober dan seterusnya menghadiri beberapa majlis Hari Raya, Walimah dan juga Deepavali.

Pada keesokkan harinya saya bersama YB Yaakaob menganjurkan Majlis Hari Raya di Seksyen 9 dan kemudiannya bersama YB Rodziah menganjurkan majlis Hari Raya di Seksyen 16 pada hari yang sama. Pada malam itu jug telah diadakan ceramah di Seksyen 20.

Di antara 12 dan 13 Oktober pula, saya menghadiri perbahasan Sesi Bajet Kerajaan Negeri Selangor yang dianjurkan di Shah Alam Convention Centre. Pada 15 Oktober pula saya telah menghadiri Seminar SelCARE iaitu Konvensyen berhubung ‘Alternative and Renewable Energy’ dan seterusnya menghadiri pula bermacam-macam majlis Hari Raya dan Deepavali yang dianjurkan pada masa yang sama. Sempat juga memberi tazkirah dan khutbah di Masjid Seksyen 26, berceramah di Batu Kurau, Larut dan menghadiri sesi dialog di Kajang.

Oleh yang demikiaan, baru hari ini, hari kedua sidang Parlimen, saya berpeluang menulis sedikit. Semestinya isu terhangat yang masih belum saya sentuh adalah persoalan kekalahan PAS dan PR di Bagan Pinang. Secara ringkasnya pandangan saya begini.

Suasana Pilihan Raya di Bagan Pinang

Sampai ke Bagan Pinang saya dapat melihat kesemua dewan-dewan dihiasi bendera BN dan UMNO. Tiada peluang PAS menggunakan mana-mana dewan. Kebanyakan rumah-rumah persendirian yang berlaman besar saya difahamkan telah disewa terlebih dahulu oleh BN. Rumah-rumah ini dihiasi sepanduk dan bendera UMNO dan tiada peluang kami menyewa tempat untuk berceramah selain dari rumah-rumah ahli kami.

UMNO menggunakan segala kekuatan mereka untuk menyekat dan menyempitkan ruang bergerak PAS serta PR. Teringat saya akan suasana pilihan raya di bawah BN dahulu di Selangor. Dewan-dewan dimonopoli BN. Ceramah-ceramah parti lawan juga disekat. Begitulah suasananya di Bagan Pinang.

Dibandingkan pula dengan suasana pilihan raya kecil di Permatang Pasir, Pulau Pinang di mana PR memerintah. BN dibenarkan menganjur majlis berbuka puasa di Masjid-masjid dan sebagainya. Maka jauh sangat bezanya.

Beginilah cara rakyat dikongkong oleh UMNO/BN selama ini. Melalui kekuatan kewangan mereka dan salah guna kedudukan mereka sebagai kerajaan Negeri dan Pusat, rakyat dikuasai dan dihalang dari mendapat maklumat. Seperti biasa segala media arus perdana memberi laporan-laporan yang menyokong BN.

Budaya demokrasi, menghormati hak rakyat mendengar dan memilih, jelas tidak wujud dalam UMNO/BN. Dalam masa yang sama, budaya samseng pula disuburkan. Saya sendiri telah melihat tindak tanduk pemuda UMNO yang begitu agressif kerana mereka tahu mereka kebal undang-undang. Agaknya begini jugalah suasana Pilihan Raya di negeri Selangor sekiranya BN kembali memerintah Selangor.

BN memang terdesak untuk memenangi pilihan raya kecil ini dan mereka telah membelanjakan wang yang banyak, lebih banyak dari biasa, untuk menjamin kemenangan. Mereka menyedari Pilihan Raya kecil ini mereka mesti menang. Maka tidak hairanlah apa yang telah mereka lakukan untuk menjamin kemenangan.

Setelah mencapai kemenangan mereka juga sedar, ianya bukan satu kemenangan yang boleh mereka banggakan. Ianya tidak merupakan satu kemenangan yang menunjukkan rakyat telah kembali menyokong BN. Ianya hanya kemenangan tempatan hasil dari suasana tempatan yang dapat mereka kuasai melalui penyalahgunaan kuasa dan wang rakyat. Dengan suasana yang dikuasai mereka sepenuhnya, termasuk pengaruh tempatan calon mereka, mereka menang. Tetapi, ianya tidak mencerminkan suasana politik negara.

READ MORE HERE



Comments
Loading...