Kalau Hati Dah Busuk…


Zaid Ibrahim

Kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata buat-buat tak nampak. Itulah yang saya tahu mengenai A. Kadir Jasin, seorang wartawan dan pengarang terkenal yang berkhidmat penuh setia di bawah rejim Dr Mahathir Mohamad dahulu.

Secara peribadi, saya tak pernah kenal mesra dengan Kadir. Oleh itu saya hairan mengapa dalam blognya dia telah begitu bersunggug sungguh melemparkan tuduhan liar tanpa sedikit pun rasa tanggungjawab terhadap kebenaran. Malah saya tak pernah bertemu dengan mana-mana wartawan atau pengarang yang begitu hitam kesumatnya sehingga sanggup memfitnah orang lain seperti Kadir ini.

Dalam blognya,dia menggelar saya Hurricane Hattie, satu watak kartun tahun 60an yang suka mengacau orang lain. Saya ini dianggap oleh Kadir sebagai pengacau dalam UMNO dan kini pengacau dalam PKR. Dia kata dia tidak berniat jahat tetapi setiap ayat yang ditulisnya berbau busuk dan jahat. Dia kata saya ini kaya-raya kerana UMNO. Tuduhan ini sebiji sama dengan tuduhan “boss” Kadir, iaitu Dr Mahathir Mohamad.. Dia tuduh kononnya saya kaya setelah UMNO diharamkan. Saya kononnya menjadi orang perantaraan dalam penyelewangan harta UMNO tersebut. Jadi dari situlah harta UMNO hilang dan orang seperti saya menjadi kaya-raya. MasyaAllah!

Selalunya orang yang berlatarbelakang kewartawanan seperti Kadir sepatutnya membuat penyelidikan dahulu supaya semua fakta lengkap dan tepat bagi memastikan tulisannya adil dan seimbang. Saya boleh menerima tuduhan asalkan ada fakta dan maklumat yang tepat. Tapi nampaknya Kadir tidak pernah berubah sikapnya sebagai budak suruhan .Sejak zaman dulu, kewartawanan yang dibawanya memang propaganda basi dan bohong semata-mata. Sebagaimana yang diajar kepada budak-budak wartawannya, cara tulisan Kadir hanya mahu ajak ramai orang merasa benci kepada saya. Walaupun apa yang ditulis itu adalah fitnah dan tidak berasas.

Kadir patut sedar bahawa propaganda murahan zaman dia berkuasa di Straits Times sudah tak laku lagi. Lebih baik bagi Kadir jika dia menyatakan apa yang benar. Ramai orang tahu Kadir baik dengan Tun Daim Zainuddin, iaitu Bendahari UMNO pada masa itu. Sudah tentu rapat juga hubungannya dengan Presiden UMNO Baru Dr Mahathir. Begitu juga dengan orang kaya UMNO Tan Sri Halim Saad. Peguam Negara pada masa itu pula ialah Tan Sri Abu Talib yang bertanggungjawab kepada pejabat Official Assignee tahu kemana harta UMNO pergi; semua mereka ini masih hidup. Biarlah mereka yang mendedahkan penyelewengan ini.

READ MORE HERE



Comments
Loading...