Skandal PKFZ: Bekas PM diheret masuk
Kedua-dua bekas Perdana Menteri, Mahathir Mohamad dan Abdullah Ahmad Badawi diheret ke dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), apabila mereka didakwa mengetahui apa yang berlaku dalam projek tersebut.
Pendedahan ini dilakukan oleh bekas Menteri Pengangkutan, Ling Liong Sik dan bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), OC Phang ketika menghadap prosiding yang dipanggil Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC), menurut laporan PAC terhadap projek pembangunan PKFZ.
Ling menyebut nama Mahathir
Menurut laporan prosiding pada 15 Julai 2009, Ling Liong Sik memaklumkan bahawa kos tanah dan kuasa menentukan nilai tanah tidak berada dalam bidang kuasa Kementerian Pengangkutan, tetapi pada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (Valuation and Property Services Department) di bawah Kementerian Kewangan.
"Saya ingat, kami melalui banyak perbincangan berhubung harga tanah ini. Saya amat jelas dengan ini. Saya memberitahu kepada kabinet banyak kali, kami di Kementerian Pengangkutan hanya untuk menyatakan bahawa kami mahu tanah itu," jelasnya.
Mantan Menteri Pengangkutan ini menyambung,"berhubung dengan kos, penilaian harga, itu bukan fungsi Kementerian Pengangkutan. Kami tidak mempunyai Jabatan Penilaian. Kos dan penilaian adalah masalah yang perlu diselesaikan oleh Kementerian Kewangan. Mereka mempunyai Jabatan Penilaian, kesemuanya diuruskan di sana, bukannya di Kementerian Pengangkutan."
Malah, Ling Liong Sik (gambar kanan) terus menyebut nama bekas PM Mahathir Mohamad, selaku Menteri Kewangan dan orang yang bertanggungjawab ke atas Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.
Ling berkata, "saya rasa Mahathir yang mempengerusikannya (Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta), pada masa yang sama juga seorang Menteri Kewangan. Beliau sangat jelas keadaannya. Ini kenyataan dalam kes ini." (I think Tun Dr. Mahathir who chaired it, and he was the finance minister also. He saw it very clearly. That was the facts of the case.)
Menurut laporan PAC, seandainya tanah PKFZ dibeli dengan Akta Pengambilan Tanah 1960, maka projek ini akan menjimatkan RM645.87 juta. Bertitik tolak daripada itu, kos PKFZ (tidak termasuk faedah) seharusnya berjumlah RM442.13 juta, dan bukannya RM1.088 bilion. Pada masa yang sama, laporan juga menunjukkan bahawa tanah itu ditukar tangan dengan RM47.76 sekaki persegi, 67% lebih tinggi daripada anggaran Jabatan Penilaian.
OC Phang menuding jari kepada Abdullah, Chan
Selain itu, bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), OC Phang ketika menghadiri prosiding PAC pada 2 September 2009, memaklumkan bahawa bekas PM Abdullah Ahmad Badawi dan bekas Menteri Pengangkutan, Chan Kong Choy yang meluluskan agar PKFZ dibangunkan dengan hanya satu fasa (Single Phase). Sementara pembelian tanah itu dijalankan di bawah arahan Ling Liong Sik.
PC Phang berkata, Abdullah dan Chan Kong Choy (gambar kanan) memberi arahan sedemikian (membangun dengan Single Phase) kepada LPK setelah dicadangkan oleh Jebel Ali Free Zone International (Jafza).
Menurut OC Phang, PKFZ dibangunkan dengan dua fasa mengikut rancangan asal. Fasa pertama melibatkan tanah seluas 500 ekar. Tugas asal LPK adalah untuk membangunkan tanah yang seluas 500 ekar ini, disusuli dengan fasa kedua kemudiannya. Namun, PM dan Menteri Pengangkutan pada ketika itu (Abdullah dan Chan) memberi arahan kepada LPK pada 3 Mac 2004, membangunkan 1000 ekar tanah sekaligus mengikut cadangan Jafza.
OC Phang: Saya amat gusat
Selain itu, PC Phang berkata kesemua kementerian yang terlibat mengetahui hal ini, malah kabinet telah meluluskan untuk membeli 1000 ekar tanah secara "willing sell willing buy" dengan Kuala Dimensi Sdn Bhd.
"Kerajaan mengetahui segala-gala ini. Kementerian Pengangkutan tahu, Kementerian Kewangan tahu, agensi pusat… Saya amat gusar (I ' m quite annoyed), kes pembelian tanah ini ditujukan kepada saya. Saya menganggap saya mempunyai hak untuk gusar…"
Sebagaimana yang diketahui, Kementerian Kewangan pernah mengarahkan agar tanah ini dibeli dengan Akta Pengambilan Tanah, agar harganya lebih murah. Tetapi LPK pula membeli dengan harga RM25 sekaki persegi, harga satu kali ganda lebih tinggi daripada KDSB.
OC Phang menjelaskan, LPK menjalankan pembelian ini setelah menerima surat arahan daripada Ling Liong Sik.