Wang ehsan akan disalurkan melalui JPP, kata Awang Adek


(Bernama) – Wang ihsan yang akan diberikan kepada Kelantan akan disalurkan menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) bagi melaksanakan pelbagai program, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussin.

Beliau berkata pemberian wang ihsan itu dibuat di atas hasrat murni kerajaan pusat yang ingin membantu rakyat Kelantan.

“Rakyat Kelantan sepatutnya bersyukur dengan keputusan itu,” kata Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan kepada pemberita selepas menerima kunci van untuk kegunaan Umno Bahagian Bachok di Perupuk di sini, hari ini.

Rabu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan pusat akan memberikan wang ihsan kepada kerajaan Kelantan mulai tahun depan bagi hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu.

Awang Adek menjelaskan kerajaan negeri Kelantan tidak berhak mendapat royalti minyak kerana dua telaga minyak yang dipertikaikan itu terletak di kawasan 150 batu nautika dari perairan Kelantan.

Berdasarkan undang-undang, Kelantan hanya berhak menuntut wang royalti sekiranya terdapat sumber petroleum yang dihasilkan dalam perairan negeri berkenaan.

Perairan negeri ditakrifkan sebagai terletak tidak melebihi tiga batu nautika yang diukur dari tikas air surut atau pesisir pantai negeri tersebut.

Mengenai hasrat kerajaan negeri untuk membawa isu bayaran royalti minyak ke mahkamah, Awang Adek berkata kerajaan negeri berhak berbuat demikian di bawah sistem perundangan negara.

“Cadangan itu bukan luar biasa dan tidak mengejutkkan kerana sesiapa sahaja berhak berbuat demikian di bawah sistem perundangan negara,” katanya.



Comments
Loading...