Cerapan Isu Sekolah Satu Aliran


Umum mengetahui fakta bahawa ramai pelajar termasuk bukan Cina yang mendaftar untuk mengikuti pengajian di sekolah JK Cina. Perlu ditegaskan bahawa salah satu sebab sekolah Cina begitu popular adalah penerapan secara tidak langsung fahaman dan amalan kemajuan ekonomi seseorang individu, keluarga, masyarakat ataupun negara.

By 2partysystem

Sekolah Cina berupaya melahirkan pelajar yang berkeupayaan dalam pelbagai kebolehan terutamanya berdikari dalam mempertingkatkan taraf ekonomi individu tersebut. Penentangan terhadap pemansuhan sekolah Cina oleh golongan berwawasan terbukti tepat dengan kebangkitan kuasa ekonomi Republik Rakyat China. Itulah sebabnya sekolah Cina perlu dikekalkan kerana penggunaan bahasa Mandarin yang semakin meluas.  

Bahasa Mandarin yang dipelajari di persekitaran sekolah JK Cina jauh berbeza dari persekitaran sekolah kebangsaan dari segi pemahaman kebudayaan dan warisan Cina serta fahaman dan amalan kemajuan ekonomi seperti yang dinyatakan di atas. Penguasaan Bahasa Mandarin tidak akan menampakkan apa apa kemajuan dan keberkesanan jika tidak berada dalam persekitaran yang dimaksudkan. Ramai berpendapat bahawa pembentukan sekolah satu aliran boleh mengugat fahaman dan amalan kemajuan ekonomi kaum Cina. Patutkah amalan dan fahaman ini ditafsir sebagai kiasu oleh sesetengah pihak?  

Tidak ada perpaduan kaum pun di sekolah kebangsaan

Kesedaran perhubungan kaum mula terbentuk di kalangan pelajar Melayu yang cemerlang di peringkat sekolah rendah yang kemudiannya diserap ke dalam MRSM ataupun sekolah berasrama penuh yang lain pada penghujung tahun 6 sekolah rendah. Bagi sekolah menengah kebangsaan berasrama separa, penuntutnya ialah pelajar Melayu kurang cemerlang dan asrama diisi dengan pelajar Melayu dari luar bandar yang rata-ratanya Melayu marhean. Cuma terdapat satu dua golongan Melayu atasan yang tidak mahu dipisahkan dari keluarga mereka. Pada peringkat awal sekolah menengah, golongan pelajar Melayu luar bandar ini tidak diletakkan dalam kelas-kelas yang sama dengan murid-murid tempatan pelbagai kaum, cuma di Tingkatan 4 dan 5.  

Bagi pelajar kaum Cina, perpindahan satu dua murid ke sekolah rendah kebangsaan dari sekolah Cina bermula, diikuti sekelompok di peringkat menengah rendah hinggalah tahap maksimum yang mencakupi 30 peratus jumlah pelajar tingkatan 4 (angka yang telah mencapai taraf sekolah wawasan) di sekolah kebangsaan tersebut. Perpindahan berlaku disebabkan tiada kemudahan tingkatan 4 di sekolah lama. Alasan yang paling menarik ialah keinginan menguasai Bahasa Melayu di persekitaran sekolah kebangsaan dan lulus peperiksaan SPM subjek Bahasa Melayu supaya dapat melanjutkan pelajaran ke IPTA. Maklumlah orang marhean juga, tidak mampu ke IPTS. Setelah tamat SPM, tiada seorang pelajar Melayu pun yang menuntut di Tingkatan 6 aliran Sains , India kurang dari 10 peratus, semuanya berbangsa Cina.  

Pihak sekolah akan cuba sedaya upaya untuk menyatupadukan pelajar-pelajar berbilang bangsa seperti mengatur tempat duduk, agihan kelas-kelas, syarat-syarat berpersatuan, wajip bertutur dalam bahasa Melayu sahaja dsbnya. Pergaulan hanya setakat di sekolah sahaja, sikap manusia yang kita tahu suka berkelompok memang wujud dan sahih. Pergaulan dan persahabatan bermula dari keikhlasan hati seseorang dan tidak boleh dipaksa oleh pihak berkuasa. Bayangkan, kalau berlainan bangsa duduk sekelas sebelah menyebelah tetapi hati hitam pegam, benci membenci, tak payah bincang perpaduan akulturasi atau akomodasi pun, semuanya bagaikan arang habis besi binasa, hampas sahaja, kata orang tanya empunya tengkorak sudah cukup.  

Semua kisah ini berlaku dalam tahun 80an di sekolah sekolah sekitar Kulim, Kedah. Dengan adanya MRSM dan sekolah berasrama penuh yang majoritinya pelajar kaum Melayu sahaja, dan kerajaan mengharapkan adanya perpaduan, perpaduan jenis apa semua ini? Adakah quality di sekolah tersebut berbeza dengan sekolah kebangsaan yang lain? Adakah pemimpin-peminpin kita sedar apa yang sedang berlaku di sistem persekolahan negara kita?

Setiap sekolah kebangsaan mempunyai peratusan komposisi kaum yang berlainan, contohnya Sekolah Kebangsaan BM High School (alma mater Tun Abdullah Badawi) sudah tentu memperlihatkan perpaduan kaum wujud jika dibandingkan dengan sekolah kebangsaan di kampung terutamanya sekitar tahun 50an, 60an dan 70an tetapi perubahan corak pentadbiran sekolah selepas itu menjadikan sekolah kebangsaan tidak begitu popular lagi.

Bolehkah penjelasan diberi terhadap model, bentuk, dan corak pentadbiran sekolah satu aliran seperti yang disarankan oleh Prof. Emeritus Khoo Kay Kim yang dikatakan boleh menyatupadukan pelbagai kaum? Adakah sekolah tersebut berbentuk tahun 50an, 60an dan 70an tetapi corak pentadbirannya seperti sekarang? Pentadbiran sekarang? Dengan desas-desus yang mengatakan gereja kecil (chapel) di sebuah sekolah mubaligh Kristian di Pulau Pinang akan dimansuhkan! 

Pengendalian bijak kaum Cina di dalam sistem persekolahan Malaysia

Seperti yang dihuraikan di atas, pelajar kaum Cina bukan sahaja menguasai bahasa Melayu dan bahasa Mandarin tetapi juga bahasa Inggeris apabila melanjutkan pelajaran ke Kolej TAR, walaupun bersusah payah membayar yuran tetapi berbaloi. Dengan penguasaan tiga bahasa utama serta sijil kelayakan profesional yang diiktiraf seluruh dunia, maka tidak menjadi masalah bagi mereka mendapat pekerjaan di Malaysia mahupun luar negeri. Kemajuan dalam kerjaya, peningkatan modal insan, inovasi dan keinginan mencuba sesuatu yang baru, kegigihan berusaha, kebolehan bersaing dalam perlumbaan tikus dan sebagainya, semuanya berhubung rapat dengan fahaman dan amalan kemajuan ekonomi dan tidak akan tercapai kalau membuat sesuatu dengan iseng-iseng.   

Mereka bukan sahaja memahami budaya, adat dan psikologi Melayu tetapi berada di dalam persekitaran pelbagai kaum yang sebenar. Tentu sekali interaksi mereka dengan orang-orang Melayu lebih sempurna dari aspek perniagaan mahupun sosial dewasa kelak. Tambahan pula, terdapat banyak buku-buku mengenai orang Melayu yang ditulis dalam bahasa Melayu tetapi buku-buku mengenai orang Cina kebanyakannya ditulis dalam bahasa Inggeris ataupun Mandarin. Berbanding dengan pelajar-pelajar yang diserap ke dalam sekolah berasrama penuh atau MRSM, hubungan etnik hanya boleh diajar secara teori tanpa sebarang peluang untuk mempraktikkannya. Adakah ini strategi yang baik untuk pelajar-pelajar Melayu atau kerajaan cuba membentuk elitisme Melayu? Sudah tentu kaum Cina mahu status quo kepada sistem persekolahan sedia ada kerana kebencian terhadap dasar kerajaan nescaya membuatkan mereka lebih bersemangat untuk bersaing dan memajukan diri sendiri kerana itulah dijadikan peluru mereka. 

Peranan kelas tuisyen swasta dan tuisyen peribadi rumah

Salah satu sebab Venezuela merupakan pesaing utama acara Miss World dan Miss Universe ialah rakyatnya yang membelanjakan 40 peratus daripada pendapatan mereka untuk mencantikkan diri mereka (kosmetik, senaman, pakaian dll). Keluarga Cina mempunyai persamaan tersebut yang berbentuk pelaburan dalam pendidikan anak-anak mereka (buku, tuisyen, guru mahir dll). Bagi pelajar yang menetap di sekolah vernakular sahaja, ramai yang mengambil tuisyen Bahasa Melayu yang dikendalikan oleh guru yang mahir kerana kelas-kelas tuisyen berupaya membentuk persekitaran mikro untuk mereka menguasai bahasa tersebut. Justeru, tahap penguasaan Bahasa Melayu di kalangan murid murid sekolah Cina adalah memuaskan; dari segi penulisan tidak menjadi isu, bagi percakapan cuma bunyinya berbeza serta kolokial dan loghat jarang dipakai. Kurang selesa kalau didengar oleh mereka yang diasuh di persekitaran sekolah kebangsaan. Bahasa Inggeris ditutur di rumah sesama ahli keluarga yang secara tidak langsung membentuk persekitaran mikro juga.  

Untuk makluman umum, pengendalian sesetengah kelas tuisyen terutamanya tuisyen peribadi rumah agak intensif dan berkualiti, pembelajaran yang tidak prejudis dan berdasarkan fakta, tidak semestinya bertujuan mendapat gred A sahaja. Pelajar digalak membuat rujukan tambahan sebagai kerja rumah dan membentuk pemikiran tersendiri yang bebas dari kongkongan kerangka sistem. Sebagai contoh, perbincangan sejarah campurtangan British di Perak, fakta-fakta di bawah turut diketengahkan selain buku teks dan buku rujukan yang lain.  

A History of Perak – R.O.Winstedt, R.J.Wilkinson 

In 1874 there were 3,000 slaves in Perak, one sixteenth of the whole population….. The desire to possess some particular person sometimes led to the invention of fictitious debts, and people were liable with little hope of redress to be dragged from their homes ….        (halaman 91)

In the districts of Kampar, Sungkai and Pulau Tiga, where there were no powerful chiefs to protect their dependents, royal messengers could carry the rulers creese or sword and carry off the young women to become palace attendents. “Usually they led a life of prostitution with the knowledge and consent of the Raja and his household, ….     (halaman 92) 

Perak and the Malays – J.F.A. McNair 

…for the slavery of Perak is the institution of the country. That it is a custom at times terribly abused there can be no doubt; but, on the whole, the regime under which the slaves lives is mild and not disadvantageous. Among the evils of slavery, the power of the Sultan or chiefs to seize upon the person of any one to whom they take a fancy …For instance, it is asserted that the Sakais, or Jacoons, are literally hunted down, captured, sold and made slaves; and the late Mr. Birch states that from his experience these people were far worse treated than others of their class;….      (halaman 193)

Instances of this slave-hunting are not at all uncommon, as recorded by various Residents; one of whom specially notifies Perak as the scene of these outrages. The Sakai women seem to have been frequently hunted down like wild beasts, becoming with their children slaves through generation after generation.       (halaman 194)

Kemudian persoalan dilontarkan; adakah J.W.W. Birch seorang manusia yang berperadaban atau bertamadun apabila cuba menghapuskan adat perhambaan serta memperkenalkan peradaban moden dan pada masa yang sama mengambil atau merampas hasil tanah pribumi orang lain? Adakah semua ini propaganda British dan faktanya karut marut? Apakah kesan penjajahan British ke atas penduduk Perak dari segi perkembangan ekonomi dan sosial? Apakah benar sejarah evolusi pemikiran penduduk Perak berkaitan dan membawa kepada populariti YAB Nizar Jamaluddin? Sermua ini adalah untuk tatapan bebas pelajar dan bukannya diajar secara cubaan mengindoktrinasikan seseorang.  

Melangkah ke hadapan

Masalahnya ialah kerangka sistem negara yang terlalu sensitif untuk dibincang lebih-lebih lagi dipinda seperti DEB (tiada masalah jika dibiarkan bersambung 1000 tahun lagi tetapi fikirlah sebenarnya siapa yang rugi?) kerana sesetengah struktur ini sudah lusuh dan berkarat dan rakyat membuat anjakan paradigma untuk mengelakkannya. Diburukkan lagi dengan karenah birokrasi dan administokrasi yang menyusahkan rakyat saban hari.

Mengapa kerajaan tidak mencuba sesuatu yang baru, andai kata membenarkan penubuhan sekolah Amerika dengan pengetuanya rakyat Amerika, mungkin perpaduan akan tercapai dan quality pendidikan negara dapat ditingkatkan. Pengenalan sekolah Amerika tidak memerlukan apa-apa perpindaan kepada kerangka sistem yang sedia ada, cuma satu idea yang boleh dipraktikkan.

Kita ada sekolah Cina, Tamil, dan Jepun, kenapa tidak sekolah Perancis, Jerman, Rusia dan Arab. Dari segi fahaman dan amalan kemajuan ekonomi, pendidikan universiti di Jerman dan Perancis adalah percuma dan baik untuk kerajaan membuat pertimbangan. Kita bertuah kerana terdapat banyak jenis restoran di Malaysia, Melayu, Cina, India, Mamak, Jepun, Korea, Amerika, Perancis, Jerman, Itali, Thai, Indonesia, Arab, Mexico dll. Adakah menjamu selera di restoran-restoran ini menjadikan kita kurang keMalaysiaan atau keMelayuan?  

Sudah menjadi tautologi dan sering kita mendengar hasutan seperti ‘orang Cina baliklah China’ daripada mereka yang langsung tidak faham tentang Republik Rakyat China kerana dilihat dari kacamata perkauman. R.R. China kini merupakan simbol peradaban moden dan ramai penduduknya mengamalkan cara hidup barat seperti bertutur bahasa Inggeris, mengamalkan etika sosial moden, berpakaian fesyen terkini, minum wain, menari tarian tango dsbnya.

Cakap pasal tango, difahamkan terdapat seorang kerani syarikat tempatan yang melanjutkan kerjayanya ke R.R. China sebagai guru tarian mengaut keuntungan berlipat ganda berbanding gaji kerani di sini. Ini pun berkaitan dengan fahaman dan amalan kemajuan ekonomi. Di bawah pemerintahan komunis yang begitu lama, apabila pasaran dibuka bagaimana R.R.China boleh menjadi kuasa ekonomi dengan begitu cepat sekali? Di mana datangnya pengalaman untuk menjalankan aktiviti perniagaan mereka? Sama seperti orang Jepun, memiliki asas warisan dan semangat samurai tetapi tidak semestinya perlu berpakaian samurai dan membawa pedang keluar rumah untuk dipertontonkan supaya dia lebih ‘Jepun’, kerana benda ini tertanam dalam sanubari yang tidak diperlihatkan. ‘Dasar Pandang Ke Timur’ itu sebenarnya ‘cakap tak serupa bikin’.  

Mengapakah tidak dibuat program tinggal bersama ahli keluarga berlainan bangsa ataupun program belajar bersama pelajar pelbagai kaum dengan membenarkan pemindahan murid-murid sekolah secara sementara supaya mereka dapat memahami diantara satu sama lain dengan lebih baik. Ianya bukan sahaja dapat mengelak karenah birokrasi tetapi murid-murid dapat membuat pilihan bebas atas kehendak mereka sendiri. Seperti cemburu apabila orang lain berjaya, hatta itulah setiap kali semboyan dibunyikan; arakian berkumandanglah percakapan bahawa perpecahan kaum boleh membobrokkan keamanan dan kesejahteraan Malaysia. Wahai pemimpin-pemimpin yang tak habis habis berceloteh, mengadu-domba, janganlah isu sekolah satu aliran dimainkan gerangan dapat menyatupadukan pelbagai kaum di Malaysia.  

Boleh diibaratkan seperti sebuah kilang dan kerangka sistem pentadbiran sebagai mesin-mesin buruk, usang yang masih beroperasi dan menunggu kemusnahan. Ramai pekerjanya telah berhijrah ke kilang-kilang lain untuk mencari makan. Pengarah kilang tidak mampu membuat keputusan drastik untuk menggantikan mesin-mesin tersebut ataupun membaikinya. Mesin baru kosnya tinggi lagi mahal, kalau dibaiki kemungkinan tidak boleh beroperasi sama sekali, mungkin kerana tiada kepakaran. Jadi biarlah ianya bocor, berminyak, berbunyi asalkan ada produksi walaupun kosnya tinggi. Usah peduli pasal quality. Kalau pekerja bising, nak bentuk kesatuan suruh pengawal pukul mereka. Bagi pekerja kilang, tunggulah AGM akan datang tengok boleh dapat pengarah baru tak. Hai, itulah nasib kilang yang bernama ‘Malaysia’.



Comments
Loading...